Celcom Axiata Bhd (Celcom) optimis capai sasaran 25 peratus daripada 11 juta pelanggannya akan menjadi pengguna aktif The Cube menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, pihaknya yakin sasaran itu akan dapat dicapai terutama setelah Celcom menandatangani perjanjian usaha sama bersama Broadway Media Sdn Bhd bagi membawakan kandungan baru iaitu Liga Perdana Indonesia (IPL).
“Setakat ini Celcom mempunyai lebih 11 juta pelanggan, 1.5 juta daripadanya aktif menggunakan The Cube. Dengan usaha sama ini, kami yakin jumlah pengguna The Cube akan terus meningkat.
“Melalui usaha sama dua tahun ini, Celcom akan menyalurkan kandungan digital menerusi pelbagai platform mudah alih kepada pelanggan The Cube,” katanya selepas mengumumkan usaha samanya di Kuala Lumpur, kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Broadway Media, Datuk Syed Ahmad Khalid Syed Mohamed berkata, syarikatnya gembira dapat bekerjasama dengan Celcom dan membawa kesemua programnya, termasuk IPL kepada pelanggan Celcom menerusi pelbagai platform mudah alih.
Syed Ahmad juga menyasarkan peningkatan pelanggan Astro Indo Pek kepada 250,000 pelanggan berbanding 120,000 pelanggan sedia ada menerusi usaha sama tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: