Wednesday, February 15, 2012

Pameran foto terbaik dunia


SALAH seorang pengunjung tidak melepaskan peluang melihat pameran fotografi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.


LEBIH daripada 160 foto yang pernah menggondol Anugerah World Press Photo (WPP) di seluruh dunia dipamerkan pada acara pembukaan Pameran The World Press Photo di lokasi pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Kedutaan Belanda dengan kerjasama penaja utama, TNT Express Malaysia, pameran bertaraf antarabangsa itu telah pun berlangsung dengan jayanya di KLCC pada 30 Januari hingga 12 Februari lalu.

Pada pameran tersebut, orang ramai berpeluang melihat hasil kerja lebih 55 jurugambar yang mewakili lebih 23 buah negara. Pameran ini dijangka menarik lebih ramai pengunjung di Melaka, Pulau Pinang dan Sabah.

Duta Belanda ke Malaysia, Paul Bekkers dalam ucapan perasmiannya baru-baru ini menyatakan, kerjasama dengan TNT itu telah memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan pameran berprestij itu di Malaysia.

"Foto-foto yang dipamerkan merupakan indikasi yang jelas tentang kepentingan seni dan budaya dalam mengeratkan hubungan antara negara.

"Menerusi ilustrasi ini, gabungan kedua-dua elemen itu dapat dilihat sekali gus membawa interpretasi bermakna buat kita semua," jelasnya.

Turut hadir pada majlis perasmian pameran itu ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan lebih 300 jemputan. Yen Yen turut dibawa melihat keseluruhan pameran diiringi Pengarah Projek pameran itu, Tessa Hetharia.

Pengarah Urusan TNT Express Malaysia, Chong Siang Chung dalam ucapan ketika sidang akhbar yang diadakan pada hari perasmian berkata, TNT juga akan menganjurkan seminar fotografi di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

"Sempena pameran ini, kami mengambil kesempatan mengadakan seminar fotografi yang bermula dari 11 Februari lalu hingga 11 Mac ini.

"Kami turut menjemput lebih daripada 30 kanak-kanak kurang bernasib baik bagi membolehkan mereka merasai pengalaman mempelajari teknik-teknik asas fotografi.

"Diharap seminar ini dapat membantu mereka memahami erti di sebalik setiap foto yang dihasilkan dan membuka peluang kepada mereka bagi menghasilkan karya hebat pada masa akan datang," ujarnya dalam satu kenyataan akhbar.

Turut disokong oleh penaja Katchi Group Sdn. Bhd., Dutch Postcode Lottery dan Canon, pameran itu kini berubah lokasi ke Balai Seni Lukis, Melaka bermula dari 14 Februari hingga 23 Februari ini.

Orang ramai juga boleh mengunjungi pameran tersebut di 1 Borneo Shopping Complex, Kota Kinabalu, Sabah pada 27 Februari hingga 8 Mac ini dan di Penang Town Hall (Dewan Perbandaran Penang), Pulau Pinang bermula 11 Mac hingga 19 Mac depan.

Pameran tersebut dibuka setiap hari kepada orang ramai pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: