Friday, February 24, 2012

Nurul Zakiah telefon keluarga

SAMER KHAN lelaki Pakistan yang didakwa membawa lari Nurul Zakiah pada 14 Februari lalu.


KUALA LUMPUR - Remaja hilang yang didakwa terkena ilmu pengasih Pakistan, Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, telah menghubungi keluarganya kelmarin untuk menegaskan bahawa dia melarikan diri kerana ingin hidup berdikari.

Perkara itu disahkan oleh bapanya, Azman Saad, 51, yang turut memberitahu, Nurul Zakiah telah menghubunginya kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin untuk menyatakan perkara tersebut kepadanya.

Selain itu, dia memberitahu, anaknya itu turut merayu agar dia menarik semula laporan polis yang telah dibuat berkenaan kehilangannya sejak 14 Februari lalu.

"Dia menceritakan bahawa dia tidak lagi bersama dengan kekasihnya itu dan dia kini berhasrat untuk bekerja dan hidup sendiri," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan tentang ahli keluarga Nurul Zakiah yang merayu agar dia pulang selepas disyaki lari dari rumah kerana mengikut Samer Khan atau nama sebenarnya, Arsad Mohd., 20-an apabila cinta mereka mendapat tentangan keluarga.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting, Kuala Langat itu dikatakan telah terkena ilmu pengasih lelaki Pakistan tersebut hingga menyebabkan dia mula berbohong dan melawan cakap orang tua.

Mengulas lanjut, menurut Azman, walaupun hanya berbual selama seminit, dia berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit baharu anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: