|
|
NAMANYA mungkin masih terlalu hijau dalam lapangan seni namun penampilan pertama Nurul Ekasari Rosihan Anwar dalam filem tempatan, Chantek nyata tidak menghampakan.
Ramai yang memuji lakonan gadis dari seberang ini dan menganggap watak Chantek dalam filem itu amat bersesuaian dengan dirinya.
Nyata, pengarah dan hero filem tersebut, Pierre Andre tidak salah memilih pasangan lakonannya itu yang dicari hingga ke Indonesia.
Siapa menyangka, gadis yang baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan ini berjaya menambat hati Pierra biarpun khabarnya ada nama-nama popular dalam seni lakon seberang yang turut datang mencuba nasib dalam uji bakat untuk filem tersebut.
Kini bakat Nurul Ekasari yang mesra disapa Nurul ini mulai mendapat perhatian pengarah dan produser tempatan untuk berlakon dalam produk keluaran mereka.
Mengakui teruja dengan penerimaan kelompok penggiat seni di negara ini, kata anak sulung daripada tiga beradik itu, dia juga tidak kisah jika perlu menetap lebih lama di negara ini demi menggapai cita-cita dalam dunia lakonan.
Nurul Ekasari yang menetap di Jakarta Timur itu berkata, dia sudah bersedia untuk berpindah dan menetap di Malaysia sekiranya mendapat tawaran berlakon di sini.
“Kalau ada tawaran yang menarik, sudah tentu saya terima. Bagi saya rezeki ada di mana-mana. Jika di Malaysia mampu memberi rezeki kepada saya, sudah tentu saya bersedia.
“Mungkin bila saya berjauhan dengan keluarga dan merantau bersendirian, saya akan menjadi lebih matang,” jelasnya tanpa ragu-ragu.
Bagaimanapun, Nurul Ekasari mengakui bahawa dia amat merindui keluarganya sepanjang dua minggu berada di negara ini ketika penggamabaran dan sesi promosi filem tersebut.
Namun tegas gadis berusia 24 tahun ini, perasaan itu bukan sesuatu yang dapat mematahkan semangatnya demi memastikan kejayaan dalam dunia lakonan yang diminatinya.
Justeru, kata Nurul Ekasari, dia kini lega kerana filem sulung lakonannya dalam Chantek mendapat reaksi positif daripada penonton di negara ini.
“Nyata pengorbanan saya itu berbaloi,” katanya sambil tersenyum manja.
Lebih senang berbicara soal kerjaya, Nurul Ekasari juga agak berat mulut untuk bercerita soal hati dan perasaan.
Namun dia tidak pula menunjukkan reaksi kurang senang apabila soal cinta diajukan kepadanya sebaliknya melemparkan senyuman paling manis tanpa memberikan sebarang komen.
Tetapi daripada gerak tubuhnya dapat disimpulkan bahawa gadis manis itu sudah pun mempunyai teman lelaki istimewa dan kini sedang berbahagia dengan seseorang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: