Nikon lancar D800

Nikon Corporation (Nikon) memperkenalkan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) terbaru, Nikon D800 menawarkan penyelesaian pengimejan digital semua tahap menerusi teknologi dan reka bentuk terkini.

D800 kamera pertama di dunia yang didatangkan de­ngan kiraan efektif piksel terbesar iaitu 36.3 juta piksel, enjin pemprosesan imej Expeed 3 dan 91K piksel sensor RGB.

Pengarah Urusan Nikon Malaysia dan Singapura, Masanobu Tsunoda berkata, kamera D800 dihasilkan berdasarkan permintaan jurugambar amatur dan profesional yang menyukai kiraan piksel besar, kualiti imej terbaik tetapi mem­punyai saiz yang kecil dan ringan.

“Pada masa sama, model D800 juga mampu merakamkan imej dan video de­ngan resolusi berdefinisi tinggi (HD). Kelebihan itu, memberi banyak pilihan kepada pengguna khususnya jurufoto untuk memiliki D800 dan merasai pe­ngalaman penyelesaian digital berkuasa dan terkini di pasaran,” katanya.

Menurutnya, model kamera ini adalah kombinasi definisi cemerlang dan kua­liti imej dengan persembahan dan kela­juan tinggi, yang sesuai bagi resolusi gambar alam semula jadi dan studio.

Selain itu, daripada segi keupayaan merakam video, D800 boleh merakam video berdefinisi tinggi penuh (FHD) 1920x1080p atau 30-fps menggunakan format tayangan gambar berasaskan FX atau DX dengan gambar berlatar belakang cerah (depth of field).

Bagi mendapatkan kualiti bunyi lebih jelas, D800 turut dilengkapi jek fon kepala yang mempunyai tetapan pada mikrofon, dan pada masa sama skrin memaparkan imej yang dirakam pada monitor melalui antara muka multimedia berdefinisi tinggi (HDMI) ketika merakam.

D800 turut didatangkan dengan fungsi selang masa (time lapse) yang boleh menangkap imej yang dipilih kemudian mencantumkan kesemuanya bagi membina tayangan gambar dalam selang masa.