BRUSSELS - Para pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Perancis kelmarin bagi mendesak tentera Afghanistan untuk mengetuai semua operasi tempur menjelang pertengahan 2013, setahun lebih awal daripada jangkaan.
Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy telah mengemukakan cadangan bahawa tentera perikatan sepatutnya berundur secara beransur-ansur pada 2013.
Pada tahun 2010, para pemimpin NATO bersetuju bahawa tentera Afghanistan sepatutnya mengambil alih kawalan keselamatan dari satu wilayah ke wilayah lain sehingga negara itu mempunyai tanggungjawab penuh menjelang tahun 2014.
Tentera NATO bertumpu di Afghanistan selepas AS dan sekutunya melancarkan serangan memerangi pengganas terutamanya, Taliban pada tahun 2001.
Sementara itu, menteri-menteri dari negara-negara NATO semalam cuba menyelesaikan isu kontroversi tentang bagaimana untuk membayar gaji anggota keselamatan Afghanistan yang kian bertambah.
Afghanistan yang merupakan antara negara termiskin di dunia itu tidak mampu membiayai perbelanjaan berjumlah AS$6 bilion (RM18 bilion) setahun, maka negara-negara anggota NATO perlu membiayai sebahagian besar daripadanya.
Namun, langkah-langkah berjimat-cermat dan pemotongan bajet yang dibuat berikutan krisis kewangan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menyukarkan lagi usaha untuk memperoleh dana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: