KUALA LUMPUR - Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan perkhidmatan menaiki bot dan menunggang kuda pony secara percuma di Taman Tasik Titiwangsa di sini kepada orang ramai selama seminggu bermula semalam mendapat sambutan menggalakkan.
Orang ramai mula berpusu-pusu ke kawasan rekreasi itu seawal pukul 8 pagi untuk menyertai aktiviti itu yang diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Seorang pengunjung, Azmi Jaafar, 41, berkata, walaupun sering meluangkan masa bersama keluarga di tasik berkenaan, mereka tidak pernah menaiki bot di situ.
"Langkah DBKL ini baik dan sangat dialu-alukan kerana ramai yang tidak pernah melakukan aktiviti yang ada di sini seperti menaiki bot dan menunggang kuda.
"Jadi, peluang yang ada ini akan membolehkan orang ramai menjalankan aktiviti ini tanpa perlu memikirkan soal bayaran," katanya kepada Kosmo!.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
Tema sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini adalah Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju.
Nuramalina Mohsin, 14, pula berkata, dia dan rakan-rakannya yang memang meminati aktiviti air tidak melepaskan peluang tersebut yang disifatkannya seperti 'bagaikan bulan jatuh ke riba'.
Katanya, walaupun tawaran itu akan berakhir pada 7 Februari ini, mereka tetap gembira kerana bukan mudah untuk mendapat peluang seperti itu.
"Kalau boleh biarlah aktiviti ini dilanjutkan kerana ramai lagi pelajar seperti saya yang meminati aktiviti air tetapi tidak mempunyai wang yang banyak untuk menyertainya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: