Monday, February 6, 2012

Menu lazat Tengkera


AHMAD Faiz (kiri) dan adiknya, Mohd. Aizat yang sama-sama menguruskan perniagaan keluarga mahu mengekalkan warisan turun-temurun.


LAZIMNYA, kuah sambal nasi lemak ditambah dengan gula pasir ketika ia ditumis bagi melengkapkan rasa.

Namun, bezanya resipi nasi lemak kukus dari Melaka, gula Melaka digantikan agar tidak menenggelamkan rasa lain kerana ia kurang manis serta tidak menghilangkan rasa pedas.

Itulah juga rahsia resipi istimewa Restoran Nasi Lemak Tengkera yang diperturunkan oleh ibu pengusaha adik-beradik dari Tengkera, Melaka ini.

Menurut pengurus bersama restoran ini, Ahmad Faiz Md. Anuar, 27, resipi turun-temurun itu dibawa ke Kuala Lumpur bagi mengekalkan tradisi.

“Menu Nasi Lemak Tengkera turut dihidangkan dengan lauk ayam Tengkera yang kelihatan seperti ayam kicap tetapi ia kering sedikit dan ditambah kerisik,”katanya yang turut mengusahakan restoran tersebut bersama-sama adiknya, Mohd. Aizat dan kakak, Farah Hanan.

Restoran Nasi Lemak Tengkera turut menyajikan pelbagai menu lain seperti mee bandung Muar, charkuetiau Penang, beef steak Tengkera, epok-epok, laksa spagheti dan penkek aiskrim.

Tambahnya, kebanyakan menu mereka menggunakan rencah asli yang dicipta sendiri bagi menjaga kualiti serta memberikan kelainan kepada masakan.

“Contohnya charkuetiau Penang, kami gunakan kicap buatan sendiri kerana serik dengan pembekal kicap sebelum ini yang tidak menjaga kualiti produk mereka apabila permintaan semakin banyak,” terangnya.

Lebih menarik lagi, restoran berkonsep santai itu turut menyediakan air coconut shake yang sememangnya terkenal dalam kalangan pengunjung Pantai Kelebang, Melaka.

Pokoknya kini di Kuala Lumpur pun anda boleh menikmati menu istimewa daerah Tengkera ini!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: