Monday, February 20, 2012

Menangani 'gagap ICT' di Indonesia


wakil Kumpulan Utusan bersama pakar bidang pendidikan dan ICT dari Indonesia mengadakan dialog untuk melaksanakan program e-pembelajaran di sekolah di seluruh Republik itu di Jakarta, baru-baru ini.


ISU 'gagap teknologi maklumat (ICT)' dan pembangunan kandungan pembelajaran sekolah-sekolah di Indonesia, adalah antara perkara yang akan dilaksanakan melalui modul pengurusan perubahan di bawah solusi pendidikan Sistem Pengurusan Pembelajaran Pintar (ILMS) Utusan Malaysia.

Dalam dialog Kumpulan Utusan dan Indonesia yang diwakili PT Kumala Wandira di Jakarta baru-baru ini, delegasi dari Malaysia itu diberitahu, antara masalah besar di negara berkenaan ialah kegagalan pelaksanaan program teknologi maklumat di sekolah, walaupun kerajaan Indonesia membiayai program itu secara percuma.

Dialog berkenaan dipengerusikan oleh Mantan Wakil Menteri Pendidikan Nasional Indonesia, Prof. Dr. Fasli Jalal, Direktor Utama PT Kumala Wandira, Firdaus Hasan Basri, dan disertai pakar-pakar daripada bidang pendidikan dan teknologi maklumat.

Ia merupakan tahap awal daripada pakej program solusi ILMS yang telah dimeterai oleh kedua-dua belah pihak di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang komponennya meliputi kajian keperluan, pembangunan modul latihan dan kandungan bahan pembelajaran, sistem ILMS serta kelestarian projek, selain program bimbingan mengikut keperluan.

Tujuan dialog adalah untuk mendapat pelbagai komen daripada pihak pelaksana dan rakan kongsi di negara itu, selain mengumpul maklumat dan data bagi tujuan kajian keperluan sebelum pembangunan modul dan perancangan keseluruhan dapat dilaksanakan.

Dr. Fasli dalam dialog itu menekankan aspek kebolehpercayaan ujian psikometrik pelajaran, serta kemampuan kandungan bahan yang dibangunkan kelak sama ada boleh menarik pelajar untuk belajar atau tidak, serta masa yang diambil untuk membangunkan bahan.

Komen yang diterima daripada beberapa pakar pendidikan yang hadir juga adalah sangat positif, dengan rata-rata berpendapat jika ILMS dapat dilaksanakan di Indonesia, ia akan mengubah landskap pendidikan e-pembelajaran di negara itu.

Pendekatan ujian psikometrik juga secocok dengan dasar yang hendak dilaksanakan dalam kalangan pelajar.

Mereka turut bersetuju dengan bahan yang telah dibangunkan oleh Utusan Malaysia untuk diguna pakai di dalam ILMS , kerana ia telah dipecahkan dalam bentuk objek pembelajaran bersifat topikal, boleh berdiri sendiri dan mudah diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kumpulan Utusan diwakili oleh beberapa pegawainya, termasuk Ketua Pegawai Operasi Perfisio Solution Sdn. Bhd., Fareed Abdul Ghani dan Pengarang serta Pengurus Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Turut serta ialah Pengurusan Kanan Pembangunan Pemasaran dan Perniagaan Perfisio Solution Sdn. Bhd., Yusni Abd Ghani dan Ahmad Kamal Ariffin serta Pengerusi Koperasi Minang Kuala Lumpur Berhad, Buchari Ibrahim.

Sementara itu, Firdaus mencadangkan supaya projek rintis bagi program itu dilaksanakan di beberapa sekolah elit di Surabaya.

Tutor Online yang dilengkapi dengan nota, latih tubi, soalan penilaian prestasi dan papan muka laporan untuk ibu bapa kini digunakan secara meluas oleh pelajar di seluruh negara khususnya calon peperiksaan awam sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Manakala Tutor ILMS pula adalah sistem e-pembelajaran pertama di Malaysia yang menggabungkan dua sistem dalam satu iaitu ujian psikometri kepandaian pelbagai dan kaedah pembelajaran mengikut kesesuaian setiap murid menggunakan bahan pembelajaran yang menepati keperluan mereka sama ada berdasarkan kaedah visual, auditori mahupun kinestatik.

Sistem e-pembelajaran milik Kumpulan Utusan, Tutor Online dan Tutor Intelligent Management System (ILMS) itu akan memasuki pasaran Indonesia selepas termeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak antara anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Perfisio Solutions Sdn Bhd, PT Kumala Wandira dan Koperasi Minang Kuala Lumpur Berhad baru-baru ini.

Selain Indonesia, Sri Lanka juga menunjukkan minat kepada ILMS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: