Ika Nabila

Lahir menerusi program Akademi Fantasia musim keenam (AF6), nama Ika Nabila mungkin tidak segah rakan seangkatannya seperti Stacy, Nubhan, atau Saida. Namun Ika merupakan antara produk AF6 yang masih bertahan dalam industri seni sehingga kini.

Namun dalam meniti perjalanan sebagai anak seni, nama Ika tidak terlepas daripada kontroversi yang sedikit sebanyak mencalarkan namanya. Lebih membuatkan Ika kesal, orang sekeliling seolah-olah hanya ingin tahu kisah kontroversi berbanding karier seninya.
Dikait dengan 'pengkid', berpakaian seksi, kaki sosial dan terbaru dikatakan meminum arak, Ika mengakui terpaksa menelan satu persatu tohmahan orang luar hanya kerana beberapa keping gambar yang tersebar.
"Bila saya tahu orang kaitkan saya bercinta dengan 'pengkid' bernama Adlin, saya hanya ketawa. Hakikatnya, dia adalah pengurus saya yang dipanggil 'kak long' dan dia bersama saya sejak saya keluar AF lagi.
"Saya dengan kak long memang rapat dan dia sentiasa menemani saya ke mana sahaja. Malah, apabila berita itu keluar di akhbar mingguan tersebut, ayah saya sendiri yang memaklumkan kepada saya mengenai berita tersebut," katanya.

Bukan 'kaki minum'
Mengulas mengenai fotonya yang memegang minuman yang dipercayai arak, Ika mengakui tersilap sehingga membuatkan ramai pihak keliru. Jelasnya, air dalam gelas tersebut bukanlah arak sebaliknya, jus sparkling. Ika berkata, dia tidak pernah minum arak apatah lagi mabuk di depan khalayak seperti yang digambarkan pada foto itu.
"Sebenarnya air dalam gelas tersebut adalah jus sparkling. Saya tak tahu macam mana gambar itu boleh tersebar kerana ia hanya dipaparkan dalam gambar profil mesej Blackberry (BBM) saya.
"Malah, saya bersama Mimi Haris (penyanyi) ketika itu di sebuah pusat karaoke. Saya percaya ini perbuatan­ khianat individu yang tidak berpuas hati dengan saya.
"Bagaimanapun, saya mengakui silap kerana meletakkan gambar itu di profil BBM saya, sekali gus menyebabkan ada pihak salah faham,” jelasnya.
Masih aktif menyanyi

Menyentuh mengenai karier nyanyiannya yang dilihat semakin suram, Ika berkata, dia masih aktif memenuhi undangan pentas. Namun tidak mempunyai single terbaru.
"Kalau ikutkan, saya banyak mengi­kuti program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan tahun lalu saya kerap terbang ke Sarawak, bagi memenuhi undangan pentas.
"Mungkin kerana jarang muncul di program nyanyian yang disiarkan di televisyen (TV), orang anggap saya kini hanya aktif berlakon," katanya yang kini menjalani penggambaran drama Apa Celop yang bakal disiarkan, 20 Februari ini di TV3.
Ika berkata, biarpun karier nyanyiannya tidak sebaik karier lakonannya, dia tidak pula berasa kecewa dan percaya pada rezeki.
"Buat masa ini fokus utama saya terhadap bidang lakonan dan jika ada kelapangan saya tidak kisah untuk memenuhi persembahan pentas.
"Tapi untuk membuat album atau single, saya belum ada perancangan lagi kerana saya tidak mahu membazir wang yang keluar, tetapi tiada hasilnya," katanya.
Namun Ika berkata, dia lebih kecewa apabila ada pihak cuba memburukkan namanya dengan cerita kontroversi yang mengarut.
"Saya tidak kisah jika karier nyanyian tidak bergerak sebaik lakonan. Tapi saya kecewa bila saya diam, orang pijak maruah saya, seolah-olah saya tidak ada ibu bapa yang mempunyai perasaan apabila membaca kisah negatif anak mereka," akhirinya.