PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi muda, Liyana Jasmay sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan memberi tempoh masa menamatkan zaman bujangnya pada tahun depan atau dalam masa dua tahun lagi.
Liyana berkata, walaupun baru berusia 23 tahun, dia yakin dirinya semakin matang untuk melangkah ke gerbang perkahwinan lebih-lebih lagi jika memperoleh suami yang dapat mendorong kerjaya seninya.
"Benar, saya sudah bersedia untuk berkahwin dan tak mahu lagi melalui sesi percintaan seperti dahulu. Saya seriklah nak bercinta lama-lama. Bukannya apa, akhir sekali tiada apa-apa pun di penghujungnya.
"Andai kata ada yang berkenan jumpalah mak dan ayah saya dahulu, kemudian berkenalan dahulu dalam masa beberapa bulan. Jika selesa, maka bolehlah teruskan apa yang patut.
"Namun, diakui, saya memerlukan seseorang yang menyayangi diri ini. Tak senang duduk dibuatnya jika tiada cinta," selorohnya.
Tambah Liyana, dia akui, sejak berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan mempunyai syarikat produksi miliknya, Mermaid Studios, dia dapat merasakan dirinya semakin matang daripada segi pemikiran.
Dia juga semakin memikirkan tentang masa hadapan, kehidupan dan karier.
"Mungkin ramai yang menganggap saya ini masih lagi kebudak-budakan. Tetapi pendedahan yang saya terima sejak menyertai industri seni tempatan sejah berusia sembilan tahun membuatkan saya cepat matang.
"Tambah pula, ketika di lokasi penggambaran, saya sering bergaul dengan golongan dewasa," katanya.
Dalam pada itu, Liyana kini semakin aktif dalam bidang penerbitan drama selepas mendapati telefilem terbitan pertamanya berjudul Tudung Tweet mendapat perhatian ramai terutamanya golongan remaja.
"Saya mendapati golongan remaja sekarang kurang menonton drama-drama atau filem-filem tempatan. Kadang-kala rasa geram pula bila mereka (remaja) berkata cerita-cerita tempatan yang dihasilkan tak “urban”.
"Justeru itu, saya mengambil langkah menerbitkan telefilem atau drama berbentuk “urban” yang dapat menarik semula golongan remaja supaya meminati karya-karya ciptaan tempatan.
"Setakat ini saya sedang memberi fokus untuk penerbitan telefilem berjudul Paris Masuk Kampung dan Fixie- Fixie," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: