PUTRAJAYA: Anggota kumpulan KRU iaitu, Yusry Abdul Halim mendedahkan dia sebenarnya tidak lagi percaya kepada cinta selepas gagal dalam perkahwinan pertamanya dengan pelakon Erra Fazira enam tahun lalu.
Yusry, 39, bagaimanapun berkata, perasaan itu berubah selepas bertemu dengan pelakon Lisa Surihani yang telah berjaya membuka semula hatinya untuk menerima kehadiran seorang wanita dalam hidupnya.
"Jujur saya katakan bahawa saya tidak lagi percaya kepada cinta lagi selepas kegagalan pekahwinan saya dulu. Tetapi Lisa telah mengubah pendirian saya itu sehingga membawa kami kepada ikatan perkahwinan.
"Dia adalah insan yang telah berjaya membuka pintu hati saya dan saya amat bersyukur dengan anugerah itu," ujarnya selepas selesai upacara akad nikah di Hotel Marriot di sini pada malam Khamis.
Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah menjadi suami isteri selepas diijabkabulkan oleh abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed.
Lisa menerima seutas rantai plantinum sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Hampir 250 tetamu dikalangan ahli keluarga terdekat kedua mempelai dan wakil media hadir pada majlis itu.
Tambah Yusry, dia jatuh cinta dengan Lisa kerana kebolehan wanita berusia 26 tahun itu bergaul dengan orang tua, pandai melayan karenah kanak-kanak dan kesempurnaan Lisa pada pandangan matanya.
Dalam pada itu, Lisa ketika ditemui memberitahu Yusry telah melengkapkan kehidupan beliau sebagai seorang wanita dan selesa bersamanya.
Ujarnya, Yusry telah mengajarnya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan sempurna selain tertawan dengan sifat rendah diri lelaki tersebut.
"Daripada awal hubungan kami bukan main-main dan pada ketika itu juga saya tahu dia adalah lelaki yang tepat untuk saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pasangan pengantin baru ini bakal menjelajah ke benua Eropah untuk berbulan madu.
Yusry berkata, mereka akan berangkat ke sejurus selepas selesai majlis resepsi perkahwinan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini.
"Kami berdua akan berlepas ke Switzerland terlebih dahulu sebelum menjelajah ke tempat lain dengan menaiki kereta," ujarnya.
Tambahnya, mereka memilih negara Eropah kerana sukakan cuaca sejuk dan akan berbulan madu selama dua minggu.
Ditanya mengenai soal anak, kedua-dua mereka berharap akan dikurniakan anak secepat mungkin.
"Jika boleh saya mahu empat orang cahaya mata," ujar Lisa.
Lisa juga memberitahu selepas kembali daripada bercuti, kedua-dua mereka akan kembali sibuk dengan tugas masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: