|
BANGKOK - Seorang lelaki Iran parah di ibu kota Thailand di sini semalam apabila sebutir bom yang dibawanya meletup dan menyebabkan satu kakinya putus serta mencederakan lima yang lain, kata polis dan beberapa pegawai kerajaan.
Namun, mereka enggan membuat sebarang spekulasi sama ada lelaki berkenaan terbabit dalam aktiviti kumpulan militan.
Terdahulu, terdapat satu letupan kecil di sebuah rumah yang disewa lelaki tersebut di kawasan kejiranan Ekamai, pusat bandar raya ini dengan satu lagi letupan kecil berlaku di sebatang jalan berdekatan tidak lama kemudian.
"Polis berjaya mengawal situasi. Adalah dipercayai bahawa suspek mungkin menyimpan lebih banyak bahan letupan di rumah sewanya," kata jurucakap kerajaan, Thitima Chaisaeng kepada wartawan.
Polis berkata, mereka sedang memburu dua lagi lelaki yang tinggal di kediaman tersebut.
"Kami menemui pasport lelaki yang cedera itu. Ia adalah pasport Iran dan dia memasuki negara ini melalui Phuket dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 8 Februari lalu," kata ketua polis, Jeneral Bansiri Prapapat kepada agensi berita Reuters.
Polis kemudian memberitahu, seorang suspek berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini malam semalam.
Seorang lagi pegawai polis, Winai Thongsong memberitahu, lelaki berkenaan ditahan semasa mahu menaiki penerbangan menuju ke negara jiran, Malaysia.
Menurutnya, pihak berkuasa sedang menyoal siasat suspek tetapi setakat ini masih tidak dapat dipastikan sama ada dia terbabit dalam siri letupan semalam.
Ketiga-tiga letupan itu berlaku sehari selepas dua serangan bom disasarkan terhadap staf Kedutaan Israel di India dan Georgia.
Rejim Zionis menuduh Iran dan sekutunya, kumpulan Hizbollah di Lebanon sebagai bertanggungjawab untuk melakukan serangan tersebut.
Iran, bagaimanapun, menafikan terbabit dalam pengeboman di New Delhi dan Tbilisi tersebut.
Sementara itu, akhbar Israel semalam melaporkan serangan di India dan Georgia dibimbangi merupakan gelombang serangan terhadap warga Israel di luar negara.
Akhbar Haaretz melaporkan dua serangan kelmarin bertujuan untuk membalas pembunuhan empat saintis Iran sejak dua tahun lalu yang didakwa Teheran, didalangi Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, polis Israel meningkatkan keadaan berjaga-jaga di Israel semalam selepas kakitangan kedutaan di India dan Georgia dijadikan sasaran serangan bom.
"Polis Israel meningkatkan tahap berjaga-jaga di Israel dengan penekanan diberikan kepada kawalan keselamatan di tempat awam termasuk kedutaan asing dan kawasan yang memiliki kepentingan asing seperti lapangan terbang," kata Ketua Polis, Micky Rosenfeld.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: