SEBELUM ini program-program yang berbentuk komedi dengan menampilkan pelawak-pelawak terkenal tanah air belum pernah lagi dipersembahkan di sebuah tempat berprestij seperti di Istana Budaya.
Bagaimanapun, pada tahun ini Istana Budaya telah mencipta sejarah tersendiri apabila telah berjaya mementaskan sebuah persembahan stand-up comedy berjudul Lawak Ke Der selama enam hari bermula 3 Februari lalu.
Persembahan anjuran Istana Budaya dan NRG Enterprise Sdn. Bhd. telah menampilkan barisan pelawak yang lahir menerusi rancangan Maharaja Lawak Mega (MLM) serta Maharaja Lawak (ML) seperti Osbon, Boboi, Jozan, Nabil serta Harith Iskandar.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya menganggap persembahan komedi Lawak Ker Der sememangnya mencapai kejayaan biarpun ia baru kali pertama dipentaskan.
“Kalau melihatkan kepada penjualan tiket sepanjang enam hari ia dipentaskan setiap malam, boleh dikatakan semua tiket habis terjual dan membuktikan ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
“Bagi pihak kami sendiri ia adalah merupakan satu kejayaan di luar jangkaan dan tidak sangka ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa. Ia merupakan satu sejarah telah tercipta sepanjang 12 tahun penubuhan Istana Budaya,” ujarnya ketika ditemui pada malam terakhir pementasan Lawak Ke Der.
Menurut Juhari, idea untuk mementaskan sebuah program komedi di Istana Budaya sebenarnya sudah bermula sejak dua tahun lalu apabila Afdlin Shauki datang berjumpa dengannya dan memberikan cadangan tersebut.
Meskipun begitu, pada masa cadangan itu diberikan, dunia komedi tempatan masih belum lagi menjadi satu fenomena seperti sekarang dan pihaknya tidak yakin menerbitkan sebuah pementasan komedi berbayar.
“Saya tidak menafikan bahawa program-program yang berbentuk komedi kini semakin diterima ramai adalah disebabkan impak terhadap rancangan MLM dan ML yang telah diterbitkan oleh Astro.
“Oleh yang demikian, dengan kejayaan yang diraih oleh pementasan komedi berkenaan ia sekali gus dapat mengangkat martabat para pelawak di negara ini untuk setanding dengan program hiburan lain,” ujarnya.
Tambah Juhari, berdasarkan kejayaan tersebut sudah tentu ia adalah sebagai permulaan untuk pihak Istana Budaya lebih banyak mementaskan program yang berbentuk komedi pada masa akan datang.
Ikut peraturan
Sepanjang enam hari dipentaskan di Istana Budaya, secara keseluruhannya pelawak yang tampil di Lawak Ker Der telah membuat persembahan yang sangat mencuit hati dan menghiburkan para penonton yang hadir.
Persembahan yang paling menjadi tumpuan pastinya daripada kumpulan Boboi dan Jozan, manakala persembahan oleh Harith Iskander dan Osbon juga tidak mengecewakan terutama kepada sebilangan penonton yang sanggup membeli tiket yang mahal untuk menyaksikannya.
Namun begitu, tidak dinafikan masih ada antara pelawak yang menampilkan aksi-aksi komedi yang seolah-olah mempunyai dua maksud serta komedi yang lebih sesuai untuk tontonan golongan dewasa.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Juhari menjelaskan, ia tidak mendatangkan masalah yang besar kerana beliau melihat para pelawak yang membuat persembahan masih tetap mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Istana Budaya.
“Saya merasakan aksi-aksi yang mereka tampilkan tidaklah terlalu melampau, malah saya turut memuji mereka kerana dapat tampil dengan persembahan yang memukau penonton, biarpun persediaan yang dilakukan kira-kira tiga minggu sahaja.
“Boleh dikatakan itu adalah satu persiapan yang cukup singkat dilakukan oleh mereka. Namun, mereka masih lagi mampu untuk mempersembahkan aksi komedi yang menghiburkan dan digemari ramai,” ujarnya.
Jelasnya, selepas Lawak Ke Der yang sudah pun berakhir pada 12 Februari lalu, sebuah lagi pementasan akan diadakan oleh Istana Budaya pada 27 hingga 29 September ini iaitu Bila Hati Digeletek - Pecah Perut terbitan Global Network Entertainment.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: