LEBIH 1,000 peserta menyertai Larian Tibi yang dianjurkan oleh Persatuan Mencegah Penyakit Tibi Kuala Lumpur, baru-baru ini. Acara larian di Padang Merbuk, Kuala Lumpur itu diadakan seawal pukul 7 pagi dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Mereka datang sama untuk sama-sama mengambil bahagian atau memberi sokongan kepada peserta yang mengambil bahagian.
Larian yang merupakan acara tahunan itu merupakan kali kedua dianjurkan dengan kali pertama diadakan pada tahun 2010.
Ia dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu lelaki terbuka, lelaki veteran, wanita terbuka, wanita veteran, lelaki dan wanita remaja serta keluarga.
Menurut Presiden Persatuan Pencegah Penyakit Tibi Malaysia, Datuk Seri Yeop Jr. Yeop Adlan, objektif larian itu untuk menggalakkan cara hidup sihat kepada orang ramai yang sudah tentu dapat menjauhkan masyarakat daripada penyakit Tibi.
''Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang penyakit Tibi supaya ia dapat dibendung sehinggakan penyakit ini tidak lagi menjadi masalah kesihatan awam di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya," katanya.
Dalam pada itu larian itu juga bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu pesakit Tibi yang kurang berkemampuan.
Untuk memeriahkan lagi larian berkenaan, pada hari yang sama turut diadakan pameran kesihatan daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan timbang dan sukat dari Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. serta pemeriksaan kesihatan.
Melalui aktiviti berkenaan, sejumlah RM50,000 telah dapat dikumpulkan hasil sumbangan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia sebanyak RM30,000 dan Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. sebanyak RM20,00 bagi kegunaan persatuan berkenaan.
Ia untuk membantu pesakit Tibi yang memerlukan serta digunakan bagi aktiviti-aktiviti kesedaran penyakit berkenaan kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: