Thursday, February 2, 2012

Lapan mayat warga asing terdampar di Kota Tinggi




KOTA TINGGI – Penduduk di Pantai Semayong dekat sini semalam tergamam apabila menemui lapan mayat lelaki warga asing terdampar tidak jauh antara satu sama lain di pantai itu.

Kesemua mayat dipercayai warga Iraq dan Afghanistan itu ditemui pada pukul 8 pagi. Mayat lapan lelaki itu merupakan antara 25 penumpang bot pancung yang karam pada kedudukan 7 batu nautika dari Teluk Semayong, Sedili pada pukul 6.30 pagi.

Selain lapan mangsa yang maut, lima lagi warga asing masih hilang manakala 12 lagi selamat.

Bot yang membawa 25 penumpang termasuk seorang tekong itu karam semasa cuba menyeludup keluar dari negara ini dan dipercayai menuju ke Batam, Indonesia untuk dijadikan lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke negara lain.

Kejadian tersebut berlaku selepas bot pancung itu dipukul ombak kuat dan diburukkan lagi apabila membawa lebih penumpang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian bot karam pada pukul 8 pagi daripada penduduk tempatan yang menemui lapan mayat lelaki yang terdampar di tepi pantai Teluk Semayong di sini.

“Siasatan awal mendapati kesemua 25 warga asing itu dipercayai ingin keluar dari negara ini sebelum bot dinaiki mereka dipukul ombak dan menyebabkan karam.

“Mengikut mangsa yang selamat, tekong bot berjaya melarikan diri. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” kata beliau pada sidang akhbar di Balai Polis Tanjung Sedili di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: