Monday, February 6, 2012

Lali cerita kontroversi

pix_gal0
SETAHUN mengkhayalkan masyarakat dengan rentetan cerita kontroversi dan isu peribadi, ia mencetuskan pelbagai persepsi kurang enak mengenai dua nama yang sering menjadi paparan media massa ini. Bertali arus sisi peribadi Neelofa dan Shahz Jaszle dibongkar serta dibicarakan secara terbuka.

Bagaikan enggan bernoktah, semua itu terpaksa dijamah dan dikunyah tanpa rela biarpun tohmahan serta kecaman diterima membakar jiwa dan perasaan. Tanpa sempat menghela nafas selesa, dugaan bersilih ganti datang menguji kekuatan jiwa dua tunggak utama, Azura 2012 yang terpaksa meredah gelora kontroversi yang tidak pernah bertepi.
“Awal bertapak saya sudah dibelenggu situasi yang menyukarkan,” kata Neelofa, nama yang cukup sinonim dengan frasa kontroversi dan spekulasi itu.
“Nama Neelofa belum dikenali ramai tetapi media sudah mula tercari-cari siapa saya gara-gara ada jari menuding saya sebagai punca perpisahan Shahz dan bekas kekasihnya. Sangka saya ia akan selesai di situ, tetapi lain pula jadinya. Satu demi satu saya diuji hingga akhirnya khalayak lebih mengenali saya kerana kontroversi dan gosip panas, bukan hasil kerja saya.

“Orang melihat saya meniti laluan mudah untuk meraih populariti. Tetapi saya bingung jika kontroversi mengaburi kerjaya saya sedangkan saya sedang berusaha keras mengimbanginya,” kata gadis yang bakal meraikan ulang tahun kelahiran ke-23 pada 10 Februari ini.

Setahun diamuk gelora, kesabaran gadis berasal dari Kelantan ini terbayar apabila perlahan-lahan bakatnya mula dinilai dan direstui peminat.

Meskipun belum memiliki profil kerjaya membanggakan, pemilihannya sebagai pengacara Nona bersama Fara Fauzana berjaya mengikis persepsi negatif yang selama ini melingkari dirinya.
“Semua artis akan melalui detik permulaan, begitu juga saya. Jangan kerana saya mencuba dua bidang serentak, ada pihak beranggapan saya tamak sedangkan saya belum membuktikan apa-apa sama ada dalam lakonan mahupun pengacaraan.

“Minat saya lebih terarah kepada pengacaraan, namun rezeki untuk bergelar pelakon terlebih dulu datang. Sebagai bakat baru, saya perlu lakukan sesuatu untuk memperkasakan jenama Neelofa. Saya berada di sini kerana minat dan ikhlas, bukan mengejar populariti keterlaluan yang boleh membuat saya hilang fokus kepada kerjaya,” katanya.

Nama yang sedang mekar di bibir ramai ini kembali menjadi perhatian apabila filem pertama lakonannya, Azura 2012 akhirnya menemui penonton bermula 2 Februari lalu.

Dalam tenang menyusun bicara, pada raut wajahnya terukir kerisauan memikirkan penerimaan peminat terhadap filem yang menyaksikan Neelofa memainkan semula watak yang pernah dilakonkan aktres hebat, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy). Azura 2012 akui Neelofa, adalah penentu permulaan kariernya selepas beberapa produksi drama yang dibintanginya sebelum ini kurang meninggalkan impak kepada penonton.

“Saya menaruh harapan yang tinggi terhadap filem ini. Bila difikirkan semula, saya bersyukur kerana Azura 2012 ditayangkan ketika penonton tempatan memberikan reaksi positif terhadap filem genre cinta. Namun, saya juga tidak mampu menyembunyikan perasaan bimbang kerana saya tahu, peminat menggantung harapan besar untuk melihat saya melunaskan watak Azura dengan baik.

“Apa yang dapat saya katakan, setiap pelakon akan melalui detik permulaan. Jadi saya memohon diadili berdasarkan persembahan pertama saya. Usah membandingkan lakonan saya dan Kak Ogy yang jauh lebih berpengalaman ketika membintangi versi asal Azura,” katanya.



Shahz akui masih cintai Miera

ENTAH mengapa kekuatan bakat yang pernah dibuktikan Shahz Jaszle lewat drama bersiri seperti Asmara dan Gemilang seolah-olah belum cukup kuat untuk membuat mata khalayak tertumpu terhadap sisi lakonannya. Shahz, 23, juga diheret dalam topik perdebatan yang tidak berkesudahan. Isu peribadinya sering menghiasi dada akhbar.

Terbaru, kisah cintanya dengan pelakon remaja, Miera Liyana menjadi perbicaraan hangat apabila hubungan mereka putus gara-gara Shahrizal dikatakan berlaku curang.

“Inilah realiti kehidupan dan saya perlu mengharunginya. Saya masih mencintai, malah sedang mencari ruang untuk bersemuka dengan Miera dan menyelesaikan masalah ini. Saya bukan seorang yang tewas atau terdesak mencari cinta. Saya jujur mahu hidup bersamanya. Tetapi jika ditakdirkan dia bukan jodoh, saya akan terima.

“Kegagalan membentuk saya menjadi seorang lelaki yang lebih kuat pada masa akan datang,” katanya tenang tatkala diasak pelbagai pertanyaan ekoran kenyataan Miera mengenai status cinta mereka.

Akur khalayak akan menghalakan jari mereka dan menyalahkannya, Shahz berkata, biarpun cuba berlaku jujur orang ramai tetap mengadilinya sebagai seorang pesalah. Akuinya, sebagai lelaki dia banyak mengubah Miera menjadi seorang yang menghargai kehidupan dan berusaha membimbingnya ke arah kebaikan.

“Makin lama kami menggantung hubungan ini tanpa kesudahan, makin banyak versi cerita yang keluar. Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya, mungkin dia sudah mempunyai orang lain,” katanya menyifatkan 2011 sebagai tahun mencabar dari segi emosi dan karier, namun berpuas hati kerana menerima kepercayaan pengarah memainkan pelbagai watak.

Rezeki menyebelahinya apabila watak Zack dalam Azura 2012 diterima tiga hari sebelum mereka berlepas ke Paris, biarpun ketika tawaran datang Shahz bergelut di lokasi drama Gemilang dan Asmara.

“Saya mencipta watak Zack mengikut imaginasi saya tanpa terikat dengan apa yang pernah dilakonkan Jamal Abdillah. Saya sendiri menolak menonton semula filem itu kerana tidak mahu terperangkap dengan watak yang sudah ditonton. Ketika penggambaran saya dikaitkan menjalin cinta dengan Neelofa. Semua orang bercerita mengenainya hingga menyukarkan kami bertemu kerana bimbang orang beranggapan kami sedang dating.

“Tahukah sepanjang di lokasi kami sering bergaduh tetapi itu sebenarnya yang merapatkan kami. Dengan sedikit pengalaman yang ada, saya berusaha membantu Neelofa kerana tidak mahu gandingan kami dilihat janggal di layar perak,” katanya yang kini mahu dikenali dengan nama sebenar, Shahrizal Jaszle.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: