PETALING JAYA: Selepas enam tahun menyepi daripada pentas muzik global, kumpulan rock dari Ireland The Cranberries bakal mengadakan konsert sulung yang dikenali The Cranberries Live In Malaysia 2012 pada 4 April depan di Stadium Negara.
Kunjungan kumpulan yang dianggotai Dolores O’Riordan (vokalis), Noel Hogan (pemain gitar), Mike Hogan (pemain bass) dan Fergal Lawler (pemain dram) ini adalah bersempena sisi jelajah album keenam iaitu Roses yang bakal dipasarkan pada hujung bulan ini.
Tiket-tiket berharga RM110 dan RM170 untuk tempat duduk bebas, RM220 (Rock Zone), RM230 (tempat bernombor), RM280 (VIP) dan RM300 (The Pit) boleh dibeli menerusi www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-92228811.
Bersempena Hari Kekasih pada 14 Februari, satu promosi khas untuk pembeli tiket awal akan berlangsung mulai 13 Februari hingga 19 Februari ini.
Potongan sebanyak 15 peratus akan diberikan kepada pelanggan yang membeli tiket secara eksklusif melalui tempahan Internet atau telefon.
Mereka pernah menghasilkan lim album studio iaitu Everybody Else Is Doing It, So Why Can’t We? (1993), No Need to Argue (1994), To the Faithful Departed (1996), Bury the Hatchet (1999) dan Wake Up and Smell the Coffee (2001) sebelum berehat panjang selama enam tahun.
Selepas beberapa tahun sibuk dengan urusan peribadi dan membesarkan keluarga, kumpulan yang terkenal dengan lagu Zombie ini bersedia untuk kembali menghiburkan peminat.
Fasa terbaru karier The Cranberries kembali memuncak melihat sambutan menggalakkan yang diterima terhadap konsert “reunion” yang diadakan pada 2010.
Dengan jualan album melebihi 30 juta unit di seluruh dunia, menduduki carta Top 20 Billboard, The Cranberries menjadi satu fenomena dalam dunia muzik antarabangsa pada sekitar era 1990-an.
The Cranberries Live In Malaysia 2012 dibawakan oleh The WonderLand Artistry dan Sevent Media.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: