Monday, February 20, 2012

Keunikan Pesta Tanglung Taiwan


PELBAGAI bentuk dan jenis tanglung boleh didapati sempena pesta tanglung di Taiwan.


KALAU ada antara anda yang bercadang melawat Taiwan tetapi memerah otak memikirkan bilakah masanya, maka artikel ini mungkin dapat membantu merancang kunjungan anda.

Terdapat 1001 alasan untuk melawat Taiwan - atau dulu dikenali sebagai Formosa yang bermaksud Pulau Cantik dalam bahasa Portugis - terpulanglah kepada kegemaran masing-masing.

Bukan sekadar gah dengan kemasyhuran bangunan pencakar langit ketiga tertinggi dunia - Taipei 101, negara itu juga mendapat tumpuan jutaan pelancong termasuk dari Malaysia, setiap tahun untuk menikmati tempat indah, menjamu pelbagai makanan lazat, menghayati warisan kebudayaan dan sejarah selain menjalani upacara keagamaan.

Penulis sering mendengar maklum balas positif daripada rakan yang pernah melawat atau menuntut di Taiwan, tetapi tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu sehinggalah 3 Februari lalu - menyertai rombongan selama lima hari anjuran Biro Pelancongan Taiwan bagi membuat liputan Pesta Tanglung Taiwan 2012.

Pada awalnya, selepas meneliti itinerari yang diberikan penganjur, penulis menjangkakan kunjungan sulung ke Taiwan yang selama ini begitu diidamkan akan berakhir dengan perasaan tidak puas hati.

Ini disebabkan itinerari diatur lebih menjurus kepada agenda utamanya iaitu Pesta Tanglung, jadi tidak tersenarai satu pun destinasi percutian terkenal yang hendak dilawati. Rupa-rupanya tidak.

Tanggapan itu lenyap sebaik sahaja tiba malam hari kedua apabila kami (termasuk media dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina) dibawa membuat liputan pertama Pesta Tanglung Langit Pingxi.

Pingxi adalah sebuah pekan pedalaman yang terletak di timur New Taipei City yang juga kawasan melombong arang batu penting pada awal abad ke-20.

Keistimewaan Pesta Tanglung di Pingxi, adalah ia sambutan berskala besar yang diadakan pada hari ke-15 bulan pertama kalendar Cina (atau capgome seperti yang diketahui di Malaysia) bagi menandakan berakhirnya sambutan Tahun Baru Cina.

Dahulunya, kesedaran meneruskan tradisi sambutan pesta itu semakin pudar tetapi kerajaan Taiwan ingin menyemarakkannya semula dengan menjadikan Pesta Tanglung Taiwan sebagai acara tahunan kebangsaan dan disambut secara besar-besaran.

Memasuki edisi ke-23 tahun ini, ia kini layak disamakan dengan sambutan bertaraf dunia seperti Munich Oktorberfest di Jerman, Pesta Salji Hokkaido di Jepun dan Karnival Brazil, sekali gus menarik kehadiran pelancong-pelancong asing untuk memeriahkan acara berkenaan.

Setiap wilayah akan mengambil giliran menjadi tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan setiap tahun. Bagi 2012, ia dihoskan oleh pekan Lugang di Wilayah Changhua.

Begitu pun, tiap-tiap wilayah tetap mengadakan sambutan tersendiri biarpun bukan giliran mereka. Antara pesta yang terkenal di Kaoshiung, Taichung, Miaoli (penganjur pesta kebangsaan 2011), Tainan, Taitung dan semestinya di bandaraya Taipei yang indah berlatarbelakangkan Taipei 101.

Kesesakan

Berbalik ke Pingxi, pesta di sini memiliki keunikan tersendiri kerana ia satu-satunya yang membenarkan tanglung langit dilepaskan ke udara.

Bayangkan, anggaran 100,000 hingga 200,000 tanglung terbang ke langit pada hari tersebut, jadi ia tidak dibenarkan kerajaan untuk dianjurkan di kawasan perbandaran.

Kami tiba di Pingxi waktu tengah hari dan diberitahu bahawa kehadiran pengunjung setiap tahun mencecah ratusan ribu.

Kemeriahannya sudah dapat dirasai pada siang hari dengan gerai-gerai kecil menjual makanan dan tanglung dibuka sepanjang lebih satu kilometer sehingga ke tapak pesta. Kami dibawa ke sebuah sekolah rendah untuk bertemu dengan seorang 'Sifu' tanglung langit dan diajar cara membuatnya.

Menurut Sifu Wong, setiap tanglung berharga di antara NT$100-NT$200 (RM10-RM20) mengikut saiznya.

Kami diberitahu tujuan tanglung dilepaskan ke udara sebagai doa agar hajat yang tertulis di permukaannya akan termakbul.

Penulis juga berpeluang membuat tanglung dan merasai sendiri detik ia berkembang kepada bentuknya seperti belon udara dan diterbangkan ke langit. Perasaan itu sungguh menyeronokkan dan lega kerana mengetahui tanglung hasil DIY tidak gagal.

Kira-kira pukul 6 petang, langit gelap sepenuhnya dan semakin banyak tanglung dilepaskan. Sebenarnya dari siang lagi banyak dilepaskan, namun penulis boleh pastikan, tanglung langit adalah jauh lebih indah pada sebelah malam.

Kemuncaknya tiba apabila Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou (baru memenangi pilihan raya untuk penggal kedua) hadir merasmikan pesta dan melepaskan tanglung terbesar diiringi berpuluh-puluh ribu lagi yang turut berbuat demikian.

Perasaan menyaksikan ruangan langit dipenuhi kelipan tanglung adalah tidak dapat digambarkan dan sangat mengasyikkan. Kami meninggalkan Pingxi dengan kenangan manis dan menjangkakan sambutan peringkat kebangsaan di Lukang pada hari esoknya pastinya lebih meriah.

Sesampainya di Taman Sukan Lukang, venue berlangsungnya Pesta Tanglung Taiwan 2012, kami sudah boleh merasakan betapa indahnya apabila malam menjelma nanti. Mengelilingi kami adalah pelbagai jenis dan bentuk tanglung yang merangkumi watak kartun, binatang, bunga dan paling kelihatan sudah tentunya tanglung tema - seekor naga besar setinggi 20 meter.

Naga dipilih sebagai tema sempena tahun Naga dalam kalendar Cina. Pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian naga, singa dan gendang dilangsungkan sebelum upacara perasmian sekali lagi disempurnakan Presiden Ma.

Tepat pukul 7.40 malam, tanglung gergasi naga dinyalakan dan disusuli pancaran laser serta bunga api ke udara. Seluruh pekan Lugang yang kebiasaannya tenang dan sunyi menjadi terang-benderang dengan cahaya LED yang dipancarkan dari puluhan ribuan tanglung, tidak kira yang bersaiz kecil sehingga gergasi.

Menjadi sebahagian daripada dua sambutan pesta tanglung yang begitu menakjubkan sememangnya satu pengalaman yang 'membuka mata'.

Sesungguhnya, tidak hairan mengapa saluran dokumentari Discovery Channel menggolongkan Pesta Tanglung Taiwan sebagai antara pesta terhebat di dunia.

Jadi, sesiapa yang buntu mencari alasan untuk melawat Taiwan, Pesta Tanglung Taiwan (lazimnya jatuh di antara Januari hingga Februari) adalah jawapannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: