Thursday, February 9, 2012

Kegagalan bukan satu titik hitam

RESDUNG... peserta merasai sendiri pengalaman menggunakan mesin resdung.
RESDUNG... peserta merasai sendiri pengalaman menggunakan mesin resdung.

“DULU saya selalu mengeluh, sebab tak ada duit. Tambah pula terpaksa menyara dua anak yang masih kecil tanpa bantuan suami. Saya tahu bagaimana susah�nya menjadi ibu tunggal kerana semuanya harus dilakukan sendiri.

“Menangis sebab tiada makanan dan tidak mampu membeli pakaian. Sekarang saya mahu membantu ibu tunggal supaya mereka berjaya dalam kehidupan.

  • Foto

    ASYIK... salah seorang peserta asyik memakai bedak asas pada wajah.

  • Foto

    BEGINI... Sam menunjukkan teknik yang betul memakai celak.

  • Foto

    MASKARA... penggunaan maskara mampu menambah kecantikan wajah.

“Saya mahu berkongsi pe�ngalaman dengan mereka supaya tidak menjadikan kegagalan sebagai titik hitam. Apa yang penting, berusaha menambah keyakinan diri dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh,” demikian kata perunding Rias Kosmetik, Radiah Tok Kecil, pada bengkel penjagaan wajah dan solekan bersama 20 ibu tunggal Anggerik Murni yang dianjurkannya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Radiah, ibu tunggal tidak harus berputus asa dan menyesali nasib mereka. Bayangkan jika usia masih muda namun tidak mahu mempertingkatkan ekonomi diri, pasti diri sendiri akan rugi. Sesiapa juga boleh berjaya asalkan bersungguh-sungguh melakukannya.Bermula dengan menjadi tukang urut bermodalkan RM5 untuk minyak urut, kemahiran yang dimilikinya ini ditambah kepada memasak, menggubah bunga, jahitan dan kini dia memilih bidang kecantikan sebagai mata pencarian.


“Saya memilih kecantikan kerana sejak remaja saya memang suka bersolek dan berdandan cantik. Sedikit demi sedikit saya belajar mengendalikan perniagaan daripada orang Cina. Saya lihat mereka sangat komited dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya yang berpe�ngalaman menjadi perunding Rias Kosmetik selama 22 tahun.

Sepanjang menceburi bidang ini, dia sudah melatih ramai wanita menjadi ahli perniagaan. Apa yang penting ialah memiliki produk yang bagus, berpenampilan menawan terutama wajah yang ceria serta bijak berkomunikasi dengan pelanggan.

Oleh sebab itu, Radiah berusaha mengadakan bengkel secara percuma bagi memberi pendedahan kepada ibu tunggal bagaimana membina keyakinan diri menerusi kecantikan. Program yang diadakannya buat kali kelima ini turut mendapat kerjasama daripada Sam Beauty Shop dan produk kesihatan, X-liq.

Untuk mendapatkan wajah menawan, menurutnya, ia harus bermula dari dalam. Ini kerana wajah berminyak dan berjerawat akan menyebabkan solekan kurang sempurna.

Bengkel yang diadakan selama tiga jam ini mendedahkan wanita mengenai cara mengatasi masalah kulit yang berpunca daripada resdung. Semua peserta diberikan sebuah mesin resdung mudah alih bersama produk resdung bagi membolehkan mereka merasai sendiri pengalaman menggunakannya.

Menurut Radiah, wajah yang berseri dan menawan juga akan terhasil apabila kulit tidak mengalami sebarang masalah jerawat. Kebanyakan masalah kulit berpunca daripada resdung yang perlu dipulihkan. Jika dulu kebanyakan salun menggunakan kain putih dan asap tetapi kini teknologi moden menggunakan wap membantu untuk mengeluarkan semua kotoran, menjadikan kulit lebih cerah dan berseri tanpa sebarang cela.

“Kaedah menggunakan mesin ini lebih bersih, selamat dan terbukti berkesan. Mereka boleh menggunakannya setiap hari malah boleh dijadikan perniagaan
di rumah bagi mereka yang berminat membelinya,” katanya.

Radiah yang menjadi pengguna Rias Kosmetik sejak remaja memberitahu, kulit harus menjalani rutin penjagaan harian iaitu membersih, menyegar dan melembap bagi mendapat�kan kesan menawan apabila mengenakan solekan.

“Rutin penjagaan ini harus dilakukan secara berkala. Namun kebanyakan wanita mengambil mudah asas penjagaan wajah. Inilah yang saya mahu tekankan kepada semua wanita supaya menjaga penampilan diri. Apabila wajah menawan sudah pasti memberi keyakinan diri untuk menjual produk,” katanya.

Bagi pemilik Sam Beuty Shop yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, mengakui peluang menjadi tenaga pengajar kelas solekan memberi pengalaman berharga kepadanya. Ini kerana dia dapat berkongsi panduan dengan semua ibu tunggal mengenai cara solekan yang betul.

Sesi yang diadakan sebelah pagi dan petang ini mendedahkan mengenai penggunaan bedak asas sesuai meng�ikut jenis kulit serta teknik mengaplikasi pada wajah.

“Kebanyakan peserta masih muda dan mereka memang suka bersolek namun tidak mempunyai asas solekan yang betul. Bengkel ini mampu membuka minda mereka untuk lebih memahami jenis kulit masing-masing. Mereka begitu bersungguh-sungguh belajar sehinggakan ada yang mampu menyolek rakan sendiri ketika menghadiri majlis makan malam anjuran syarikat tempat bekerja,” jelasnya.

Walaupun bengkel ini nampak mudah, kesan kepada peserta sangat besar. Ini kerana kebanyakan ibu tunggal tidak mempunyai keyakinan diri. Mereka mudah berputus asa kerana berasa kekurangan selepas dicerai suami. Ada pula yang tertekan sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri dan anak-anak. Ini tentunya memberi kesan emosi kepada mereka.

“Dengan adanya bengkel kecantikan dan solekan ini, ia diharap mampu mengembalikan semangat serta keyakinan diri mereka untuk melihat dunia daripada kaca mata yang lebih luas. Mungkin selepas menyertainya, fikiran mereka sedikit terbuka untuk menceburi bidang perniagaan, meluaskan pergaulan serta memperbaiki komunikasi,” kata Sam.

Siti Sanijah Musa, 31, yang gemar ketawa sepanjang bengkel berlangsung, ternyata menyembunyikan kesedihannya menerusi perwatakan cerianya apabila perkahwinan yang terjalin hanya mampu bertahan setahun lebih saja.

“Memang susah apabila bercerai dengan suami. Namun hidup terpaksa diteruskan dan saya terpaksa mencari rezeki untuk menyara keluarga. Apabila diberitahu mengenai bengkel kecantikan ini, saya teruja menyertainya.

“Tambah pula apabila Radiah menjelaskan mengenai bidang perniagaan yang boleh disertai secara kecil-kecilan,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Sanijah yang bekerja di Shah Alam mengakui dia berminat menyertai bidang kecantikan apabila melihat kesungguhan Radiah menguruskan produk Rias Kosmetik. Walaupun bergelar ibu tunggal, Radiah membuktikan dia mampu membina perniagaan sendiri malah membantu ibu tunggal yang lain tanpa mengenakan bayaran.

Siti Norwati Yasin, 33, bergelar ibu tunggal pada usia muda benar-benar memberi tekanan kepada dirinya apatah lagi dia terpaksa menyara anak yang kini berusia tiga tahun.

“Siapa yang tidak sedih apabila terpaksa berpisah dengan suami pada usia 29 tahun. Memang sukar untuk saya menghadapinya. Malu, hilang keyakinan diri dan tidak mampu berhadapan dengan masyarakat. Tambah pula saya terpaksa menyara anak yang kini berusia tiga tahun,” kata�nya yang terpaksa bekerja lebih masa bagi mencari pendapatan tambahan.

Bagi mengurangkan rasa tertekan, dia memperluaskan pergaulan dengan ibu tunggal lain. Bengkel kecantikan ini sangat bagus kerana selain menambah kemahiran dia dapat bertukar-tukar fikiran dan saling memberi semangat antara satu sama lain.

“Dulu saya langsung tidak tahu teknik menjaga wajah dan bersolek dengan betul. Selepas mengikuti bengkel ini saya semakin mahir dan boleh menyolek wajah sendiri. Memang saya berminat untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan suatu hari nanti,” katanya.

Peserta bengkel Normala Shamsuddin, 46, yang membeli mesin dan produk
rawatan resdung berasa bersyukur kerana dengan menyertai bengkel ini, dia semakin terbuka untuk menambah pendapatan menerusi kemahiran yang lain.

Walaupun tidak pernah terfikir mengikut kelas solekan dan kecantikan kerana berpuas hati dengan pendapatan sebagai tukang urut namun selepas mendapat nasihat daripada Radiah, dia semakin teruja.

“Jika diikutkan pendapatan saya tidak menentu dan hanya mengharapkan hasil mengurut saja. Tetapi kini fikiran saya lebih terbuka untuk memperluaskan kemahiran dan menambah pendapatan dalam bidang kecantikan. Saya berbangga melihat kesungguhan Radiah membuka perniagaan dan membantu ibu tunggal yang lain,” katanya yang turut menyediakan rawatan resdung di rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: