|
BERGELAR anak yatim piatu tanpa kasih sayang yang sempurna daripada ibu dan ayah amat memeritkan. Apatah lagi melihat rakan-rakan sekeliling yang berpeluang berkongsi cerita dan menikmati kebahagiaan dalam sebuah keluarga yang lengkap.
Pastinya sekelumit perasaan cemburu timbul dalam lubuk hati. Namun, mereka pasrah dengan ketentuan Ilahi kerana setiap yang berlaku itu ada hikmaknya.
"Siapa yang tak cemburu melihat rakan-rakan sekeliling bermesra bersama keluarga tercinta sedangkan anak-anak yatim pula sebaliknya. Mereka hanya mampu menagih perhatian dan belaian daripada petugas di rumah kebajikan.
"Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya sendiri. Kesempatan mengunjungi rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor merungkai kisah manis dan pahit. Rupa-rupanya anak yatim perempuan bukan saja memerlukan sumbangan dari segi kewangan atau pun barangan malah, mereka turut dahagakan kasih sayang sahabat merangkap kakak," jelas duta produk Garnier dan pelakon Lisa Surihani pada majlis pelancaran program Sinar Cahayaku anjuran jenama penjagaan diri dan kulit Garnier di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tutur Lisa yang manis berbaju kurung, pada mulanya anak-anak yatim berkenaan malu untuk berbicara. Namun, lama-kelamaan mereka tanpa segan silu bercerita perihal sekolah serta peribadi masing-masing.
Situasi tersebut jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan seorang kakak berdampingan bersama mereka untuk memberi sokongan dan bantuan.
Tambah pelakon utama Papa I Love You itu: "Paling menyedihkan apabila segelintir anak-anak yatim ini meluahkan mereka sering dibuli di sekolah. Mereka juga diugut sekiranya mengadu kepada cikgu.
"Seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku kerana anak-anak ini mempunyai hati dan perasaan sama seperti insan lain.
Tekan butang Like
Sementara itu, pakar motivasi Zawiah Hassan menyokong usaha murni pihak Garnier yang peka terhadap keadaan anak yatim perempuan di Malaysia. Ini disebabkan mereka sememangnya memerlukan panduan daripada seorang wanita matang yang mempunyai pengalaman fasa daripada seorang gadis ke seorang wanita.
"Hubungan kakak dan adik angkat ini boleh menggalakkan jalinan kasih sayang yang positif," kata Zawiah. Program Sinar Cahayaku turut mendapat sokong daripada selebriti Heliza Helmi dan Wardina Saffiyah.
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Garnier, Elena Kho, menyatakan program Sinar Cahayaku diinspirasi daripada prinsip jenama Garnier iaitu Take Care.
Ini membawa maksud selain menjaga diri sendiri, masyarakat juga perlu menjaga orang sekeliling khususnya insan yang kurang bernasib baik.
Bagi mereka yang ingin menjadi kakak angkat untuk program Sinar Cahayaku, layari laman sosial Facebook Garnier Malaysia dan tekan butang Like pada Sinar Cahayaku.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: