Jualan telefon pintar di seluruh dunia melonjak kepada 472 juta unit tahun lalu, dengan telefon pintar Apple menduduki tempat pertama, berikutan kegilaan terhadap peranti sedemikian di peringkat global.
Dalam satu kenyataan syarikat penyelidikan dan penasihat teknologi maklumat, Gartner Inc berkata, jumlah jualan telefon pintar tahun lalu menguasai 31 peratus keseluruhan jualan peranti mudah alih, meningkat 58 peratus berbanding 2010.
Menurutnya, jualan telefon pintar seluruh dunia melonjak 149 juta unit pada suku keempat 2011, dan jumlah itu meningkat 47.3 peratus berbanding 2010.
Gartner berkata, peningkatan jumlah jualan telefon pintar pada suku berkenaan disebabkan jualan iPhone Apple yang mencatatkan rekod luar biasa.
“Apple menjadi vendor telefon mudah alih ketiga terbesar di dunia, sekali gus memintas jenama LG.
“Sebagai vendor telefon pintar terunggul, Apple menguasai 23.8 peratus agihan pasaran pada suku keempat 2011, dan muncul sebagai vedor telefon pintar terunggul bagi 2011 secara keseluruhan dengan agihan pasaran 19 peratus,” katanya.
Penganalisis penyelidikan utama Gartner, Roberta Cozza berkata, Eropah Barat dan Amerika Utara menerajui sebahagian besar pertumbuhan telefon pintar bagi Apple pada suku keempat 2011.
“Di Eropah Barat, kenaikan jualan iPhone dalam suku keempat menyelamatkan keseluruhan pasaran telefon pintar selepas mengalami jualan lembap dalam dua suku berturut-turut.
“Suku keempat menyaksikan Samsung dan Apple mengukuhkan kedudukan masing-masing di tempat teratas dalam pasaran kerana jenama dan produk baru masing-masing menonjol,” katanya.
Cozza berkata LG, Sony Ericsson, Motorola dan Research In Motion (RIM) sekali lagi mencatatkan keputusan mengecewakan dan terpaksa berusaha keras meningkatkan jumlah jualan.
“Vendor-vendor itu juga terdedah kepada ancaman yang lebih hebat daripada pasaran telefon pintar berharga sederhana dan rendah apabila ZTE dan Huawei terus menambah agihan masing-masing dalam suku berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: