Wednesday, February 8, 2012

Ibrahim berkaki palsu minta bantuan


Hasnah Arpin membantu suaminya, Ibrahim Osman, memakai kaki palsu di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.


MUNGKIN sudah suratan bagi Ibrahim Osman, 61, yang terpaksa menjalani sisa-sisa kehidupannya dengan hanya bergantung kepada sebelah kaki setelah sebelah lagi dipotong akibat kencing manis.

Dia mengakui apa yang terjadi semuanya telah ditakdirkan Tuhan, namun sedikit sebanyak turut menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak pernah menjaga dan mengambil berat mengenai kesihatannya apabila diminta berbuat demikian oleh pihak doktor.

''Saya pasrah. Saya memang menghidap kencing manis dan apabila saya berjumpa doktor, mereka menasihati saya agar menjaga pemakanan dan ubat-ubatan.

''Malangnya waktu itu saya tidak pernah mengendahkan apa yang dinyatakan oleh doktor mengakibatkan penyakit kencing manis yang saya hidapi semakin parah, kaki membusuk dan kemudian terpaksa dipotong untuk mengelakkan risiko jangkitan seterusnya," katanya ditemui di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Rumah pangsa dua bilik itu di tingkat tiga itu dihuni bersama sembilan lagi ahli keluarganya termasuk isteri, Hasnah Aripin, 55, dan anak-anak.

Dia yang merupakan pesara kerja kilang itu telah kehilangan sebelah kakinya sejak tahun 2010 lagi.

Selepas kehilangan kaki, dunia Ibrahim yang selama ini suka menonton bola sepak dan memancing bersama rakan-rakan, kini hanya berkisar di rumah.

''Kalau hendak bergerak saya menggunakan kerusi roda ini dan sekiranya saya perlu ke bawah saya akan menggunakan kaki palsu yang dibeli dengan separuh harga," katanya.

Mengenangkan detik bermulanya dia kehilangan kakinya, Ibrahim memberitahu pada hari itu badannya terasa tidak sihat memandangkan terdapat dua bisul berada di tapak kakinya.

Waktu subuh itu ketika melangkah keluar dari bilik air secara tidak sengaja dia terjauh dan pengsan.

Ibrahim segera dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarganya dan seterusnya dinasihatkan doktor agar memotong kakinya yang mengalami bisul.

Selain kencing manis, Ibrahim juga menghidap penyakit darah tinggi dan tahap kolesterol yang tinggi.

''Nasib baik saya sempat membeli rumah ini untuk dihuni bersama anak-anak saya hasil duit saraan saya. Di dalam bilik ini bilangan penghuninya adalah seramai 10 orang termasuk saya dan isteri, " katanya.

Dalam pada itu dia yang telah bercucu memberitahu, biarpun semua anak-anaknya telah bekerja namun pendapatan mereka hanya setakat 'melepaskan' diri mereka sahaja.

''Semuanya hanya kerja sambilan dan mempunyai pendapatan yang kecil, kalau ada pun hanya cukup untuk diri mereka sahaja," katanya.

Justeru untuk menambah pendapatan yang dikata, kais pagi makan pagi itu, isterinya, Hasnah terpaksa menjual kuih di sebuah gerai di tepi jalan rumah pangsa berkenaan.

Ibrahim turut membantu isterinya berniaga dan membuat kuih.

Dengan jualan kuih berkenaan, dapatlah mereka sekeluarga menambah apa yang diperlukan.

''Dulu saya bekerja dapatlah menyara sekeluarga, sekarang sudah macam ni duit simpanan pun semakin susut digunakan bagi membeli keperluan perubatan dan menampung perbelanjaan harian," katanya.

Justeru katanya, sekiranya dia dapat menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapatlah meringankan beban diri dan keluarganya.

Katanya, sebelum mengakhir perbualan, Ibrahim memberi nasihat agar semua peringkat umur menjaga kesihatan masing-masing atau mendengar nasihat doktor agar kesihatan mereka sentiasa terjaga.

Ibrahim boleh dihubungi di talian 012-672 1607 sekiranya ingin membantu atau berkongsi pengalaman dengannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: