Wednesday, February 15, 2012

Hantar guru BI ke luar negara dikaji

KUBANG PASU 14 Feb. – Kementerian Pelajaran sedang mengkaji untuk menghantar guru Bahasa Inggeris (BI) mengikuti program latihan di luar negara agar penguasaan mereka dalam bahasa itu dapat dimantapkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu telah dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pada dasarnya beliau bersetuju.

“Mungkin dengan cara ini ia dapat memberi peluang kepada guru Bahasa Inggeris kita didedahkan dengan bahasa penutur jati di negara asal mereka dan kalau itu keadaannya, mungkin guru kita akan terdidik dengan lebih baik serta lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Tetapi kita kena kaji dahulu baik atau tidak perkara ini, sama ada ia libatkan kos yang tinggi atau tidak,” ujarnya ketika sesi dialog pada majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Wawasan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan bantuan Sekolah Agama Rakyat/KAFA berjumlah RM966,879 serta bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) 2012 berjumlah RM10.22 juta bagi Kedah serta RM2.59 juta bagi Perlis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya masih menunggu laporan mengenai prestasi program penempatan guru penutur jati untuk ditempatkan di sekolah terpilih mengikut zon bagi memberi tunjuk ajar kepada guru Bahasa Inggeris.

“Kita mahu lihat dahulu sama ada program ini sesuai kepada guru dan adakah ia memberi manfaat kepada pelajar dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: