|
|
SEJAJAR dengan azam 2012, Erra Fazira kini bukan sekadar berhasrat untuk muncul dengan album baru, malah turut merancang merakamkan lagu duet bersama pelakon terkenal, Umie Aida.
Menurut Erra, buat masa ini, dia juga sudah mendapat persetujuan daripada Umie Aida dan hanya sedang menunggu masa sesuai masuk ke studio rakaman.
"Ketika saya mula bertanyakan perkara ini kepada Umie, dia menerimanya dengan baik dan sangat bersetuju dengan idea untuk berduet ini.
"Cuma sekarang kami mencari masa yang sesuai terlebih dahulu. Tapi apa-apa pun ia tetap akan diadakan pada tahun ini," jelasnya yang mengakui cukup teruja jika impian berduet dengan rakan baiknya itu menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Erra menambah, untuk album terbarunya nanti, lagunya turut mendapat sentuhan Adi daripada kumpulan Sixth Sense.
"Buat masa sekarang, tajuk lagu belum lagu dibincangkan. Saya berharap lagu itu nanti dapat menepati cita rasa pendengar masa kini," katanya lagi.
Menafikan dia kini berada dalam zon selesa kerana sentiasa mendapat peluang muncul di depan kaca televisyen, Erra dalam masa yang sama turut berasa bertuah kerana dapat mencuba pelbagai perkara baru disepanjang perjalanan kerjayanya.
Selain muncul sebagai juri dalam rancangan realiti televisyen Vokal Bukan Sekadar Rupa baru-baru ini, Erra juga turut diundang menjadi penasihat kepada Rosyam Nor di dalam rancangan Pilih Kasih bersama Umie Aida.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada saya ketika ini.
"Sebenarnya, apabila saya diberi peluang untuk menjadi juri mahu pun penasihat kepada sesuatu rancangan, saya berasa sangat gembira.
"Ini kerana, saya dapat memberi semangat kepada para peserta dalam rancangan tersebut.
"Malah dalam masa yang sama, saya dapat memberi inspirasi kepada bakat-bakat baru dalam mengharungi industri hiburan sebaik bergelar public figure.
"Selain itu jika peserta tersebut perlu ditegur, saya akan tegur namun terpulanglah pada individu tersebut untuk menerimanya atau tidak," jelas pelakon ini sambil tersenyum manis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: