Saturday, February 11, 2012

Dataran rekreasi

MENARIK...antara kemudahan di Dataran Kajang.
MENARIK...antara kemudahan di Dataran Kajang.

KAJANG: Dataran Kajang, di sini, bakal menjadi sebuah pusat rekreasi baru untuk penduduk setempat berikutan kedudukannya yang strategik selain mampu menarik pelancong untuk datang ke situ.

Dengan keluasan dua hektar, dataran yang dulunya stadium itu bakal dilengkapi taman integrasi permainan kanak-kanak, trek, padang bola sepak dan gimnasium.


Cadangan asal projek itu ialah membuka tembok sedia ada dan menambah baik fungsi stadium yang terhad untuk aktiviti bola sepak dan acara trek padang, bagaimanapun atas cetusan idea Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman ia juga dijadikan kawasan rekreasi, namun struktur asalnya tidak diubah.

Kerja pengubahsuaian stadium berusia 35 tahun membabitkan kos RM2 juta itu bermula dua tahun lalu membabitkan tiga fasa dan kini ia memasuki fasa terakhir dan dijangka siap hujung tahun ini.


Hasan Nawawi berkata, semua kemudahan itu percuma kecuali padang untuk permainan bola sepak dikenakan bayaran RM150 bagi siang dan RM400 bagi malam kerana MPKj perlu menyelenggara rumput selain penggunaan lampu limpah.


“Ia akan dibuka 24 jam dan semua peringkat umur boleh datang dan menggunakan kemudahan ini.“Kami memilih lokasi ini kerana kedudukannya strategik dan terletak di tengah pusat bandar selain dekat dengan medan sate Kajang,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan dataran itu, di sini, baru-baru ini.


Sebuah arca berbentuk kipas sate dibina sebagai mercu tanda dataran berkenaan. Setiap Selasa dan Jumaat diadakan tarian poco-poco.

Sebuah dewan serba guna didirikan berhampiran dataran itu untuk permainan bola jaring, sepak takraw, bola tampar dan futsal.


Hasan Nawawi berkata, bagi mengindahkan persekitaran, sekitar dataran berkenaan MPKj ditanam dengan pokok bagi mewujudkan suasana dalam taman.


“MPKj sentiasa peka terhadap kawasan yang sesuai untuk dijadikan pusat rekreasi dan pelbagai aspek perlu diambil kira, termasuk teknik memajukannya.


“Kami cuba mengelak sebarang pembaziran dalam setiap pembangunan kawasan rekreasi baru,” katanya menambah penduduk di Kajang dianggarkan berjumlah 850,000 orang dan 70,000 apartmen dibina.


Sementara itu, pengunjung, Mohd Azri Ahmad, 34, berkata penduduk dahagakan kawasan rekreasi dan dengan pembukaan Dataran Kajang ia menjadi mercu tanda baru penduduk untuk berkunjung ke situ.


“Kawasan ini strategik dan menjadi tumpuan. Usaha MPKj memajukan kawasan ini perlu dipuji dan saya harap ia dimanfaat sepenuhnya oleh penduduk di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: