KETIKA bertemu dengannya di Restoran Tonkabean yang terletak di Hotel Impiana KLCC baru-baru ini, chef yang happy-go-lucky ini sempat berkongsi ceritanya.
Baginya, kerjaya sebagai chef berlaku secara tidak dirancang. Ini kerana setelah menamatkan alam persekolahan beliau menyambung pengajian dalam jurusan fesyen di Institut Kemahiran Malaysia (IKM) selama dua tahun.
Setelah menamatkan pengajian, beliau mula menceburi bidang fesyen dan bekerja dengan pereka fesyen terkenal, Silikin Sidik.
Setelah hampir dua tahun dalam bidang fesyen, beliau merasakan bidang tersebut tidak memberikan kepuasan dalam kerjaya yang diceburinya.
"Masa itu, salah seorang kawan rapat mengajak saya untuk bertukar haluan ke dunia masakan.
"Pada mulanya, memang keberatan untuk menukar kerjaya tetapi selepas melihat abang saya sendiri berjaya sebagai chef membuatkan saya teringin mencuba.
"Bermula sebagai komis tiga bergaji RM650, saya mula menaiki tangga sedikit demi sedikit sehingga kini berada di peringkat Banquet Sous Chef," katanya.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, dunia fesyen merupakan antara kerjaya paling diminatinya, namun jodoh dalam dunia itu sudah berakhir.
"Berada dalam dunia fesyen memang menyeronokkan kerana kita berpeluang bertemu dengan pelbagai model dan banyak pengalaman menarik seperti ketika diminta menyediakan baju untuk perarakan Merdeka dan sebagainya.
"Tetapi apabila saya menceburi bidang masakan, ia ternyata lebih mengujakan kerana saya berpeluang ke luar negara bagi mempromosikan masakan Malaysia sehingga ke Los Angeles dan New York.
"Saya berada di sana selama sebulan untuk mempromosikan masakan tempatan seperti rendang, sate, air batu campur (ABC) dan lain-lain.
"Menariknya ada seorang warga Malaysia yang telah lama menetap di sana sanggup datang dari San Diego ke New York semata-mata ingin menghilangkan rasa rindu terhadap masakan Melayu," jelasnya.
Menurut Chef Mohd. Azman, sepanjang 15 tahun bertugas di bahagian dapur, pengorbanan dan kesabarannya terasa berbaloi.
"Hasilnya kini saya berkebolehan memasak pelbagai masakan 1Malaysia (Melayu, Cina, India dan Barat).
"Saya gembira berada di dapur malah saya bertemu jodoh pun di dapur dengan seorang chef pastri. Tetapi selepas berkahwin, isteri saya bertukar kerjaya kepada seorang cikgu," ujarnya.
Chef Mohd. Azman berkata, ada banyak pengalaman menarik yang sukar dilupakan sejak mula bekerja di dapur.
"Antaranya, masa mula-mula bekerja, saya diberikan sebuah topi chef tetapi topi itu terlalu besar untuk saya dan saya jahit sendiri topi tersebut mengikut saiz yang sesuai. Ramai kawan-kawan terkejut melihat kebolehan saya menjahit dengan kemas.
"Pada hari raya pula, saya selalu jahit sendiri pakaian untuk anak-anak dan syukur sehingga ke hari ini, kebolehan menjahit masih ada biarpun kini saya lebih banyak memegang senduk," katanya sambil tersenyum.
Tambahnya, kedua-dua kerjaya ini amat berbeza dari segi mengikut kehendak pelanggan.
"Bagi saya pereka fesyen perlu menjahit pakaian mengikut kehendak pelanggan yang menempah baju tersebut tetapi bila kita memasak, ia berbeza sama sekali kerana ia datangnya dari hati kita sendiri.
"Kalau kita masak tidak ikhlas, sudah tentu masakan itu tidak sedap, tetapi jika kita masak penuh keikhlasan, masakan itu pastinya menyelerakan," jelasnya.
Biarpun beliau kini pakar dalam masakan tetapi ketika ditanya mengenai makanan kegemaran, Chef Mohd. Azman memberitahu nasi putih dan telur goreng bersama kicap berlada lebih digemarinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: