
CINTA remaja biasanya tidak bertahan lama. Ia seperti suatu permainan perasaan yang wujud di kalangan insan yang baru hendak mengenali perasaan cinta.
Namun berbeza dengan cinta remaja di antara Nor Fakira Baini Md. Yusof, 27 tahun dengan Mohd. Zul Adzdi Adam, 30 tahun.
Perkenalan semasa kedua-duanya masih berada di usia belasan tahun, Nor Fakira Baini, 15 tahun dan masih menuntut di tingkatan tiga serta Mohd. Zul Adzdi, 18 tahun, yang baru sahaja habis sekolah berakhir di jenjang pelamin. Inilah yang dikatakan jodoh kerana cinta mereka sebenarnya telah ditetapkan oleh Ilahi.
Pertemuan mereka berlaku di restoran milik bapa saudara Nor Fakira Baini atau ringkas dengan panggilan Ira. Mohd. Zul Adzdi yang kebetulan tinggal berhampiran sering datang ke restoran tersebut untuk makan-makan atau minum.
Melihat Ira, Mohd. Zul Adzdi jatuh hati. Sikap Ira yang peramah, berbudi bahasa, berpenampilan sederhana dan cantik menambat hatinya yang mesra dipanggil Along sahaja kerana dia adalah anak sulung.
Tiga tahun berkawan, mereka bertunang. Tempoh pertunangan yang singkat selama tiga bulan dimeterai dengan ikatan pernikahan yang direstui oleh kedua-dua belah keluarga.
Ira yang ditemui di restoran miliknya, Restoran Steamboat House, Senawang, Negeri Sembilan berkata, walaupun dia dan Along berkahwin pada usia muda, namun keluarga tidak pernah membantah atau menghalang.
''Keluarga tidak marah apabila kami beritahu kami mahu berkahwin malah mereka gembira kerana kami bukan berkawan kerana sekadar suka-suka. Ibu Along pun menerima saya dengan baik dan hubungan kami memang mesra. Begitu juga dengan adik beradiknya. Walaupun mereka empat beradik lelaki, namun adik-adik ipar saya ini amat sporting,'' kata Ira yang berdarah kacukan Melayu, Cina dan India.
Tambahnya lagi, walaupun Along merupakan anak sulung namun suaminya itu mempunyai sifat lemah-lembut, tidak mudah marah, penyabar, tenang dan berfikiran matang. Ini yang membuatkan Ira tertarik kepadanya.
Menurut Ira, selepas berkahwin, dia bersama-sama Along menguruskan perniagaan perabot ibu bapa mentuanya dan daripada situ mereka belajar mengenai selok-belok perniagaan.
''Bila bekerja sendiri, masa kami banyak bersama. Along banyak mendidik saya mengenai cara berinteraksi, bercakap dengan pelanggan, cara berpakaian dan menguruskan perniagaan.
''Mengenai dugaan, biasalah seperti pasangan lain, kami ada juga bergaduh biasa tetapi tidak panjang kerana Along ini memang penyabar dan dia akan diam sahaja jika saya sedang marah.
''Along tidak bercampur sangat dengan kawan-kawannya. Dia lebih suka lepak di rumah dan tidak suka buang masa di rumah. Kalau dia hendak keluar pun dengan adik beradiknya,'' ujar Ira.
Sementara itu, menurut Along, walaupun Ira muda, namun dia mempunyai pemikiran yang matang, tegas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan apa sahaja.
''Ira ini kalau buat sesuatu dia akan pastikan ia mesti berjaya. Dia ada sasaran sendiri sebab itu dia boleh kendalikan bisnes sendiri walaupun tidak mempunyai latar belakang berniaga,'' ulas Along.
Sikap seperti inilah yang diperlukan bagi seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan. Berbekalkan pengalaman membantu perniagaan keluarga, kini pasangan ini memiliki tiga perniagaan sendiri.
Selain Steamboat House di Senawang, mereka turut memiliki sebuah kedai membaiki sofa juga di Senawang. Pada bulan Mac nanti, mereka akan membuka sebuah lagi kedai, iaitu kedai perabot trade in di Bangi.
Ditanya tidakkah dia menyesal kerana terlepas zaman remajanya, kata Ira, dia tidak pernah kesal malah bersyukur kerana dijodohkan dengan lelaki yang baik, keluarga mentua yang boleh menerimanya dan bahagia dengan kehidupannya sekarang.
Malah semasa awal perkahwinan, suaminya tidak pernah mendesak agar mereka cepat memiliki anak kerana mahu Ira merasai sepenuhnya kehidupan sama seperti remaja lain. Mereka pergi tengok wayang, berjalan-jalan, bercuti malah suaminya itu mahu Ira 'enjoy' betul-betul. Sebab itu mereka merancang untuk tidak mempunyai anak selama tiga tahun.
Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta dan kini telah menjangkau usia sembilan tahun, dikurniakan dua cahaya mata comel, iaitu Desny Desy, enam tahun dan Chempaka Lestary, setahun enam bulan.
Bagi menghangatkan hubungan, pasangan ini gemar bercuti. Biasanya mereka pergi bersama keluarga Along kerana hubungan mereka memang rapat dan bagi mereka lebih seronok jika berjalan beramai-ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: