![]() |
| Chef Ahmad Zailan Zulkepli |
KACAK, berperwatakan menarik dan bijak berjenaka. Itulah tiga kelebihan dan gambaran ringkas tentang Chef Ahmad Zailan Zulkepli atau lebih senang dikenali sebagai Chef Lan.
Jejaka kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini melengkapi pakej idaman setiap wanita kerana bukan sahaja pandai memasak, bahkan berbakat dalam bidang pengacaraan.
Berkhidmat di Istana Negara sebagai salah seorang Chef Diraja, Chef Lan memulakan kerjayanya sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Chef Lan berkhidmat selama tiga tahun untuk bergelar penyelam TLDM bertauliah sebelum mendapat tawaran berkhidmat di Istana Negara pada tahun 1998.
Peluang tersebut sekali gus membuka lebaran baru buat kerjaya Chef Lan daripada seorang penyelam ke bahagian dapur.
Sebelum diterima berkhidmat sebagai chef di istana, Chef Lan dan lima chef yang lain diuji terlebih dahulu dalam sesi temuduga.
Dalam keenam orang tersebut hanya seorang sahaja yang akan dipilih dan nyata hasil masakan Barat yang disajikan Chef Lan ketika itu mendapat perhatian para juri.
“Masa sesi temuduga tersebut boleh dikatakan semuanya berpengalaman luas dalam bidang masakan.
“Namun saya bernasib baik. Biarpun saya peserta paling muda, berkat usaha gigih dan keyakinan dalam masakan, saya berjaya mendapat tawaran tersebut,” jelasnya.
Sehingga kini, Chef Lan berpeluang berkhidmat dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah.
Pengacara sambilan isi masa lapang
Walau kerjaya tetapnya sebagai seorang tukang masak istana, Chef Lan turut berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan.
Daripada sekadar suka-suka akhirnya membawanya ke dunia yang diminati sejak dari bangku sekolah lagi.
“Selepas bertugas di Istana Negara, saya mula berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan sebagai hos jemputan untuk majlis korporat dan lain-lain secara sambilan.
“Saya suka berceloteh sejak dari kecil lagi dan selalu menyertai pertandingan drama yang diadakan di sekolah.
“Bagi saya, pengacara diibaratkan sebagai nadi kepada sesebuah majlis atau rancangan. Tanpa pengacara, sesebuah majlis atau rancangan tersebut akan menjadi hambar.
“Malah sebagai seorang pengacara, mereka perlu bijak menghidupkan sesuatu majlis atau rancangan dan mengawal agar majlis itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan,” kata Chef Lan.
Menurutnya, tidak mudah untuk menjadi seorang pengacara yang baik tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
“Bukan semua orang boleh berceloteh di atas pentas atau di depan kamera, kerana tidak mudah untuk menarik perhatian penonton atau mereka yang ada dalam sesebuah majlis rasmi.
“Jika anda tahu cara-cara dan tekniknya, sudah tentu ia menjadi mudah. Apa yang perlu diutamakan ialah keberanian ketika berada di atas pentas.
“Mungkin kerana saya seorang anggota tentera TLDM, maka saya lebih berani berhadapan dengan orang ramai.
“Boleh dikatakan yang saya tidak kekok biarpun selalunya saya memegang senduk tetapi bila saya memegang mikrofon ia berbeza sama sekali,” ujarnya.
Chef Lan yang berkongsi tentang latar belakangnya dalam bidang pengacaraan berkata, dia juga pernah menceburi bidang lakonan.
“Saya pernah berlakon dalam beberapa drama tempatan walaupun sekadar mendapat watak sampingan.
“Bagi saya apa salahnya mencuba sesuatu bidang baru kerana dari cubaan itu barulah kita tahu di mana bakat kita sebenar.
“Namun akibat kekangan masa dan sukar memberikan fokus terhadap komitmen besar, banyak tawaran terpaksa saya tolak antaranya seperti tawaran ke udara di saluran Asia Food Channel (AFC),” jelasnya.
Chef Lan mengakui, dia memang tidak pernah bermimpi untuk terbabit dalam dunia lakonan yang penuh glamor.
Namun segalanya berubah apabila dia menerima tawaran mengacara sebuah majlis kira-kira empat tahun lalu.
Baginya, kedua-dua kerjayanya
itu saling berkait rapat dengan keyakinan.
“Sebagai chef dan pengacara saya perlu yakin ketika memasak dan berceloteh di atas pentas.
“Kedua-dua kerja ini memerlukan ketelitian dan minat yang mendalam.
“Memasak memerlukan skill yang tersendiri begitu juga dengan mengacara,” ujar Chef Lan.
Tambahnya, antara pengalaman manis beliau sepanjang menceburi bidang pengacaraan ialah apabila digandingkan dengan selebriti terkenal seperti Linda Onn, Nabil dan Man Raja Lawak.
“Saya berdebar apabila digandingkan dengan Linda Onn di Majlis Ramah Mesra bersama ahli Lady Bikers baru-baru ini.
“Jika dibandingkan saya dengan Linda banyak yang berbeza kerana dia merupakan seorang selebriti terkenal dan saya seorang chef.
“Namun saya mudah bekerjasama dengan sesiapa sahaja di samping banyak yang boleh saya pelajari daripadanya,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: