PERIKSA...anggota polis memeriksa permainan judi Internet di kafe siber terbabit.
BUKTI...kertas cabutan bertuah untuk kaki judi.
AMPANG: Makan dan minum percuma tarikan utama ditawarkan beberapa kafe siber yang menjalankan aktiviti perjudian Internet di Taman Cahaya, di sini, kepada kaki judi.
Taktik itu terbongkar selepas lima kafe siber diserbu sepasukan anggota Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor bersama Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, malam kelmarin.
Dalam serbuan jam 11 malam itu, kafe siber terbabit turut menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan yang membuat pertaruhan lebih RM50, malah cabutan itu diadakan sebulan sekali dengan kemenangan berdasarkan mata yang dikumpul iaitu 1,000 mata bagi tempat pertama, kedua (500) dan ketiga (100).
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abdul Karim berkata, kebanyakan kafe siber itu berselindung di sebalik perniagaan restoran bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, pelanggan yang ingin memasuki kafe siber itu pula terlebih dulu perlu memasuki restoran berkenaan.
“Kafe siber terbabit menyediakan cabutan bertuah dan makanan percuma kepada pelanggan untuk menarik kaki judi bermain lebih lama.
“Seramai 16 kaki judi berusia 20 hingga 60 tahun dan lima penjaga premis ditahan manakala 83 mesin judi iaitu berupa komputer dirampas,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, pintu masuk ke premis itu dipantau menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) selain pemiliknya mengubah suai pintu masuk dengan membina tembok di tepi premis bagi menunjukkan seolah-olah ia tidak beroperasi.
Katanya, semua premis itu pernah diserbu, namun kembali aktif sejak dua minggu lalu.
“Tindakan tegas diambil terhadap pemilik premis mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: