|
NAMA Amie Sofia Ahmad, 25, mungkin tidak sehebat penceramah agama wanita seperti Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood atau Datuk Dr. Fatimah Al-Zahrah. Namun, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu mula dikenali ramai apabila menjadi juara program realiti Solehah terbitan TV AlHijrah pada tahun lalu.
Namun, anak kepada pengarah filem negara, Ahmad Ibrahim itu tidak pernah menduga beliau akan menjadi juara musim pertama dalam program tersebut memandangkan kesemua peserta mempunyai kehebatan masing-masing.
Walau bagaimanapun, gadis yang tidak lokek dengan senyuman itu bersyukur dan menyifatkan kemenangan tersebut bukan sekadar kemenangan sahaja kerana kini dia menggalas tanggungjawab besar sebagai ikon muslimah.
Anak bongsu daripada enam adik-beradik itu yang berjaya memperoleh markah yang tertinggi dalam program berkenaan sekali gus menewaskan sembilan finalis lain. Beliau membawa pulang sebuah kereta Proton Saga FLX 1.3, wang tunai RM30,000, trofi, hadiah perabot bernilai RM10,000 serta pakej umrah tajaan UQ Holidays bernilai RM5,700 dan pakej pakaian dan kelengkapan umrah tajaan Sri Munawwarah bernilai RM1,500.
Menceritakan semula mengenai penglibatan beliau dalam program itu, segala-galanya bermula apabila menonton iklan pencarian peserta Solehah menerusi siaran TV AlHijrah.
"Ibu, kakak dan abang memberi dorongan agar saya mencuba. Kerana itu, saya ke uji bakat dan alhamdullillah terpilih,"ujarnya.
Pengalaman sepanjang berada dalam program itu, Amie mengakui terpaksa menghadapi pelbagai cabaran selama 13 minggu.
Fikir positif
Antaranya berdepan dengan kekangan masa untuk menyiapkan tugasan dalam tempoh yang singkat selain berhadapan dengan masyarakat.
Namun, semua itu membuatkan beliau tabah dan lebih bersemangat untuk menempuh perjalanan hingga ke akhir dalam program itu.
"Pada minggu pertama, saya sudah dicabar apabila dilantik sebagai ketua kepada peserta lain memandangkan seorang ustaz yang sepatutnya datang tidak dapat hadir. Masa itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya apatah lagi tidak mengenali antara satu sama lain. Namun, berkat kesabaran akhirnya saya dapat mengendali keadaan itu dengan baik," ungkapnya.
Selain cabaran itu, Amie mengakui pada mulanya beliau kurang yakin terhadap tazkirah yang disampaikan memandangkan peserta lain mempunyai inisiatif sendiri dengan membawa peralatan sokongan agar takzirah untuk menarik perhatian.
"Namun, saya berfikir secara positif dan tidak mahu situasi itu membuatkan saya lemah semangat. Saya guna kreativiti sendiri dengan membaca surah tiga Kul dan ayat Kursi selain menggunakan loghat utara untuk menjadikan ceramah itu kelihatan santai dan menarik," katanya.
Menceritakan mengenai perjalanan hidup keluarganya pula, Amie mengakui biarpun dia membesar dalam keadaan sederhana ia sebenarnya mendorong beliau untuk berjaya.
Ibunya, Saudah Abdul Wahab, 67 merupakan Setiausaha Persatuan Membantu Kanak-Kanak Cacat Mental di Kedah sejak 15 tahun. Biarpun berstatus ibu tunggal, Saudah mampu memberikan pendidikan kepada kesemua anaknya dengan sempurna.
"Bertutur lanjut mengenai dirinya, beliau mendapat pendidikan awal di Institut Al-Quran Kuala Lumpur (IQKL) pada tahun 1997 sehingga 2001 yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail.
Tawaran ceramah
Ketika itu, beliau terpaksa berjauhan dengan keluarga sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Agama Annahdzah dan seterusnya ke Maktab Mahmud di Alor Star pada tahun 2003.
Amie Sofia kemudian menyambung diploma di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Baru selama tiga tahun dan selepas itu melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Takhassus Qiraat di Universiti Al Azhar, Mesir.
Sebaik sahaja tamat pengajian, Amie pulang ke tanah air pada tahun 2010 dan bertugas sebagai guru hafazan di IQKL seterusnya menyertai dan menjadi juara dalam program Solehah.
Setelah ada pihak yang mengetahui tentang kebolehan Amie untuk menyampaikan ceramah beliau mula dijemput untuk memberi ceramah dan latihan di sekolah-sekolah dan agensi swasta.
Gadis kecil molek itu bermula dengan membuat program di sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Setiap program yang beliau jalankan memberikan beliau idea baharu untuk memajukan lagi cara penyampaian program beliau.
"Alhamdullillah, mungkin rezeki daripada-Nya. Sebaik memenangi pertandingan itu, saya menerima banyak tawaran, namun di sebalik tawaran itu terlalu banyak yang harus diharungi dalam bidang motivasi ini," katanya pada peringkat awal beliau berasa gementar untuk menyampaikan ceramah.
Bagaimanapun, semakin hari semakin banyak menerima tawaran, perasan tersebut semakin lenyap.
"Saya akan membuat penyelidikan, teknik persembahan, membaca dan mencari teknik terbaru selain merujuk kepada ustaz dan ustazah yang mempunyai pengalaman luas dalam dalam bidang ceramah.
"Selain itu, ia bukan sekadar menyampaikan ceramah tentang haram-halal sesuatu perkara, tetapi perlu mengetahui cara-cara meningkatkan kefahaman dan minat orang ramai terhadap agama," jelasnya yang menerima bayaran ceramah mencecah ratusan ringgit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: