SUBANG JAYA – Seorang wanita yang sarat mengandung sempat menyelamatkan anak bongsunya berusia dua tahun daripada dihempap bumbung rumah yang terbang akibat dilanda angin puting beliung di Pangsapuri Teratai Seksyen 16, Bukit Subang di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 4 petang itu, Roshidah Daud, (gambar kecil) 36, yang sedang menghitung hari untuk melahirkan anak keempatnya terus menarik tangan Muhammad Hadith Al Bani Mohd. Hanafiah yang ketika itu lena di dalam sebuah bilik di rumah di tingkat lima.
“Sebelum kejadian saya yang berehat terkejut mendengar bunyi hujan dan angin kencang bertiup sebelum diikuti air hujan mencurah-curah memasuki rumah saya.
“Dalam cemas, saya hanya memikirkan untuk menyelamatkan Hadith yang tidur dalam bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Semasa kejadian, dua lagi anak Roshidah yang masing-masing berumur lima dan sembilan tahun turut berada di rumah itu.
Cerita suri rumah itu, dia yang terus mendukung Hadith kemudian menarik dua lagi anaknya keluar dari rumah.
“Sebaik keluar, kedengaran bumbung jatuh menghempap katil tempat Hadith tidur sebelum itu,” katanya yang bersyukur kerana anak-anaknya selamat.
Kejadian menakutkan itu berlaku dalam tempoh 10 minit dengan kedengaran ramai penduduk di pangsapuri itu menjerit.
Akibat kejadian itu, hampir semua bumbung tingkat lima Blok 2, Pangsapuri Teratai tercabut dan berterbangan.
Ada antara bumbung yang terbang itu terjatuh dalam kawasan Pangsapuri Melur yang terletak kira-kira 100 meter dari Pangsapuri Teratai.
Namun nasib baik tiada mangsa yang cedera dihempap bumbung tersebut.
Kejadian puting beliung yang pertama kali melanda kawasan itu menyebabkan kira-kira 100 keluarga Pangsapuri Teratai terjejas kerana kehilangan bumbung rumah.
Seorang lagi penduduk di pangsapuri itu, Noorina Mohamad, 38, berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi bumbung rumah bergetar sebelum bumbung itu tercabut dan jatuh ke dalam rumahnya yang terletak di tingkat lima blok 2.
“Ketika itu saya yang memasak terus memanggil tiga anak saya membantu membawa ibu saya yang uzur keluar dari rumah,” katanya yang bersyukur kerana tiada ahli keluarganya yang cedera.
Dalam kejadian luar biasa itu, lebih 20 buah kereta di Pangsapuri Teratai turut rosak akibat dihempap bumbung-bumbung terbang. Malah banyak pokok yang tumbang.
Puting beliung itu turut menjejaskan beberapa blok di Pangsapuri Melur, Melati dan Cendana yang terletak di kawasan Bukit Subang. Bagaimanapun, tingkat lima Blok 2 Pangsapuri Teratai yang paling teruk terjejas akibat kejadian itu.
Penyelaras Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin berkata, kira-kira 23 unit rumah pangsapuri di kawasan Bukit Subang rosak akibat kehilangan bumbung selepas dilanda puting beliung.
“Seramai 100 mangsa yang rumah mereka terjejas ditempatkan di surau di Bukit Subang sementara bantuan lain akan menyusul,” katanya ketika ditemui di Bukit Subang di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: