|
SAMBUTAN Hari Kanak-kanak yang disambut setiap tahun seringkali dikaitkan dengan hilai tawa dan wajah kegembiraan si cilik apabila berpeluang terlibat dengan pelbagai aktiviti.
Tidak mahu melupakan tanggungjawab sosial mereka, Procter & Gamble (P&G) Malaysia turut mahu mengukir senyuman yang sama kepada kanak-kanak istimewa yang jarang dilibatkan dalam program sosial.
Tahun ini, P&G Malaysia menerusi program Open Minds menyambut Hari Kanak-Kanak bersama dengan kanak-kanak istimewa melalui sumbangan sebanyak RM60,000.
Sebanyak 30 pusat jagaan kanak-kanak khas terpilih memperoleh baucar beli-belah sebanyak RM2,000 setiap sebuah.
Baucar-baucar tersebut boleh digunakan oleh pusat jagaan terbabit untuk membeli barang mainan, makanan, keperluan asas dan alatan mengajar bagi kanak-kanak istimewa mengikut keperluan masing-masing.
Hidup, belajar dan berkembang
"Kami percaya dengan kata-kata bahawa kanak-kanak adalah masa depan dunia kita. Di P&G, kami juga percaya setiap seorang daripada mereka, tidak kira dalam situasi apa pun, berhak untuk menikmati kehidupan dengan sebaik mungkin.
"Oleh yang demikian, bersempena dengan Hari Kanak-Kanak ini, kami ingin membantu untuk membawa senyuman ke wajah mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie.
Tambahnya, selain daripada pembelajaran holistik yang terdapat di pusat jagaan tersebut, penjagaan dari aspek kerohanian dan psikologi amat penting untuk memastikan kanak-kanak itu dapat hidup, belajar dan berkembang (Live, Learn dan Thrive) yang menjadi moto Open Minds.
"Kami sama sekali tidak mahu kanak-kanak ini merasa tersisih pada hari yang sangat penting ini. Ini hari mereka dan ia sepatutnya diraikan dengan penuh kemeriahan sekali gus menjadikannya satu momen yang tidak mungkin boleh dilupakan.
"Dalam mengenal pasti 30 pusat jagaan kanak-kanak istimewa yang bakal menerima sumbangan ini, P&G telah memilih 20 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan 10 lagi pusat jagaan swasta untuk kanak-kanak istimewa yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat," ujarnya.
Open Minds adalah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat tersendiri yang menyasarkan secara khusus kanak-kanak dengan keperluan istimewa di bandar dan juga di luar bandar.
"Kali ini, kami pastikan bahawa sekurang-kurangnya sebuah pusat jagaan kanak-kanak istimewa di setiap negeri di Malaysia akan mendapat manfaat daripada sumbangan kami berupa baucar membeli-belah itu.
"Semenjak sedekad yang lalu, P&G melalui program tanggungjawab sosial korporatnya Open Minds, telah menyentuh kehidupan lebih 8,000 kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan pembelajaran.
"Melalui sumbangan ini, kami percaya kami mampu untuk menyentuh kehidupan 1,000 lagi kanak-kanak istimewa di Malaysia," tambahnya.
Pertandingan di laman web
Salah seorang daripada penerima sumbangan, Christine Wong, Presiden Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang, Selangor (PKKIA), melahirkan rasa kesyukuran apabila P&G menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak di saat mereka memerlukannya.
"Baucar membeli-belah ini tiba tepat pada masanya untuk mereka menyambut Hari Kanak-kanak dengan penuh gembira dan bermakna.
"Kegembiraan kanak-kanak ini jelas tergambar di wajah mereka yang tidak lekang dengan senyuman apabila melihat beg-beg yang dipenuhi mainan, makanan dan keperluan lain," kata Christine.
Selain daripada sumbangan baucar beli-belah, P&G turut menganjurkan peraduan di laman web Open Minds untuk memberi ganjaran dan memupuk bakat kanak-kanak istimewa di negara ini.
Pusat-pusat jagaan kanak-kanak istimewa diundang untuk menghantar hasil kerja si kecil yang berjiwa seni dan kreatif tidak terhad kepada lukisan, karangan dan video.
Sebanyak 10 pemenang pertama akan memperoleh barangan hamper P&G bernilai RM300 dan hasil kreativiti mereka akan dipamerkan di laman web Open Minds.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: