FENOMENA pergaulan bebas pada masa kini sering kali menimbulkan kesan-kesan yang tidak baik dalam kalangan umat Islam. Pergaulan bebas adalah budaya hidup masyarakat Barat yang menyebarkan dan menyebabkan pelbagai gejala penyakit sosial.
Kesan-kesan budaya ini telah pun meresap dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Paparan akhbar setiap hari membuktikannya, antaranya berlakunya pembuangan bayi, perzinaan dan juga hidup tanpa kawalan daripada ibu bapa.
Pergaulan bebas juga mengundang pelbagai penyakit sosial antaranya HIV dan Aids dan anak luar nikah dalam masyarakat. Tamadun dan kehidupan masyarakat akan runtuh, jika pergaulan bebas dibiarkan tanpa kawalan dan sekatan.
Menjaga batas-batas pergaulan sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim.
Kewajipan memelihara maruah dan kehormatan diri seharusnya dilakukan oleh setiap Muslim. Dalam hal ini, setiap perlakuan dan perbuatan dijaga dalam batas-batas pergaulan.
Pergaulan bebas menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini. Pelbagai masalah wujud antaranya remaja lari dari rumah, seks bebas, masalah pembuangan bayi, masalah penagihan dadah yang akhirnya mengakibatkan keruntuhan moral.
Kesannya, remaja tidak mempunyai masa depan yang terjamin apabila meninggalkan rumah dan keluarga.
Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (an-Nur: 30).
Perintah Allah dalam ayat ini kepada lelaki beriman supaya tidak memandang perkara yang diharamkan. Selain itu, menjaga kemaluan bagi mengelakkan perbuatan zina.
Perbuatan tersebut adalah lebih baik dan setiap perbuatan tersebut sentiasa dalam pemerhatian Allah.
Sementara peringatan kepada kaum perempuan Allah berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka.
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.
Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (an-Nur: 31).
Jelas, peringatan kepada perempuan beriman supaya tidak memandang perkara yang diharamkan. Menjaga kemaluan. Tidak menampakkan perhiasan diri kecuali yang zahir sahaja. Memakai tudung sehingga menutupi belahan baju di bahagian (dada).
Secara umumnya, dijelaskan supaya sentiasa menutup aurat, memelihara maruah dan menjaga kehormatan diri serta mengelakkan diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.
Ini termasuk menyekat pandangan daripada memandang perkara yang haram dan menunduk pandangan daripada melihat perkara yang haram.
Umat Islam juga diingatkan menjaga mata, supaya tidak melihat perbuatan yang diharamkan seperti melihat orang berjudi dan minum arak.
Tidak melihat aurat orang lain walaupun sesama jantina kecuali yang dibenarkan oleh syarak.
Tidak melihat aurat bukan mahram tanpa sebab yang diharuskan. Tidak melihat perkara yang boleh menimbulkan keghairahan nafsu walaupun ia hanya barang perhiasan.
Justeru, umat Islam digalakkan menjaga maruah dan kehormatan diri dengan sentiasa patuh kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Tidak mencari kepuasan naluri melalui seks haram. Sentiasa mengawasi pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang haram.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: