PETALING JAYA: Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali tidak mahu menghiraukan cakap-cakap orang yang cuba mempersendakan penampilannya selepas tampil dengan imej bertudung.
Ana, 27, berkata, niatnya untuk melakukan perubahan dalam hidup dengan bertudung bukan untuk berfesyen tetapi melunaskan apa yang wajib untuknya sebagai seorang wanita Muslim.
"Segelintir pihak yang mempertikaikan gaya saya bertudung adalah berfikiran cetek dan berharap mereka hentikan kata-kata buruk terhadap orang lain.
"Bagaimanapun terpulang kepada mereka yang melihat kerana saya bertudung bukan untuk berfesyen tetapi berbalik kepada asas saya sebagai wanita Islam," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.
Ana diminta mengulas mengenai komen sesetengah pihak menerusi Internet yang mengatakan penyanyi itu gagal tampil menarik apabila memakai tudung.
Tambahnya, dia berasa selesa dengan imejnya kini dan apa yang dilakukannya adalah atas kesedaran sendiri dan bukannya paksaan sesiapa.
Ana mula bertudung pada sambutan Maulidur Rasul yang lalu dan memberitahu keputusan untuk berbuat demikian datang dengan sendiri pada hari tersebut.
Bersedia ke alam perkahwinan
Dalam perkembangan lain, Ana bakal melangsungkan perkahwinan dengan Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim, 30, pada Sabtu ini memberitahu dia telah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Ana berkata, dia tidak perlu berasa debar atau takut kerana perkahwinan itu sendiri adalah sesuatu yang dituntut dalam agama dan berharap akan menemui kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.
"Sejujurnya saya langsung tidak rasa takut atau berdebar untuk bergelar isteri kepada Naim kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang menakutkan. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar pada majlis itu nanti," ujarnya.
Dalam pada itu, Ana berkata, persiapan untuk majlis itu telah hampir siap berkat daripada pertolongan daripada ahli keluarga dan rakan terdekat.
Acara pada Sabtu ini akan dimulakan dengan majlis pertunangan terlebih dahulu sekitar pukul 10.30 pagi dan upacara akad nikah sejam kemudian.
Kedua-dua pasangan itu akan dinikahkan sendiri oleh bapa Ana iaitu Mohd Raffali Mohd Nor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: