Daud-dihadapan-pondoknya-yang-terletak-di-Lorong-3,-Parit-Perupuk-Laut,-Jalan-Junid,-Muar

MUAR – Meskipun mendiami pondok usang yang berlantaikan tanah dan tidak bertemankan cahaya lampu elektrik juga pelita, namun ia ibarat syurga buat seorang warga emas yang menduduki rumah itu sejak 18 tahun lalu.

Daud Idris, 72, kini tinggal sendirian di pondok tersebut yang dibina di atas tanah rizab laut meng­­gunakan papan jeti terpakai di Lorong 3 Parit Perupuk Laut, Jalan Junid di sini.

Menurutnya, sejak kematian ibu lebih 10 tahun lalu, kehidupannya melarat dan tidak mempunyai tempat tinggal.

“Saya tidak tahu hendak tinggal di mana dan merayau-rayau di kawasan ini akhirnya terjumpa papan jeti terpakai lalu membina pondok di sini.

“Asalnya tempat ini adalah bekas tapak kedai makan kepada nelayan bagi jeti Jalan Junid,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Anak kelahiran Segamat itu berkata, dia tidak pernah mendirikan rumah tangga dan lebih selesa untuk hidup sendiri.

“Saya tak mahu susahkan adik-beradik yang lain kerana mereka mempunyai komitmen terhadap keluarga masing-masing.

“Biarlah saya habiskan sisa usia emas di sini,” katanya.

Daud berkata, dia selalu mengisi masa lapang dengan memancing ikan di pinggir pantai berhampiran bagi menghilangkan kesunyiannya.

“Jika dapat hasil tangkapan ikan yang banyak, saya akan jualnya dan sedikit lebihan ini untuk kegunaan sendiri.

“Hasil tangkapan ikan ini juga jadi mata pencarian saya selain ber­­gantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan yang diterima lebih tiga tahun lalu,” katanya.

Katanya lagi, selain elektrik, pondok ini juga tiada kemudahan air paip dan dia terpaksa menum­pang mandi dan mencuci pakaian di surau berhampiran.

“Mujur penduduk di sini memahami keadaan saya dan izinkan untuk guna kemudahan tersebut.

“Sering juga terdetik di hati untuk memiliki rumah yang selesa apabila setiap kali melihat rumah jiran yang cantik-cantik,” katanya.

Tetapi katanya, hasrat itu terpaksa dilupakan kerana dia tidak mempunyai wang untuk membina rumah baru.

“Saya bercadang untuk memo­hon bantuan Projek Pe­ru­ma­han Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi tidak tahu caranya,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung tersebut, Mohamad Husin ketika dihubungi berkata, beliau te­lah menghantar permohonan ban­­tuan rumah PPRT untuk Daud.

Namun Mohamad berkata, beliau dimaklumkan Daud tidak layak kerana dia (Daud) tidak mempunyai tanah dan pondok yang diduduki itu dibina atas tanah rizab milik Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).

“Walau bagaimanapun saya telah panjangkan masalah tersebut kepada Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Justeru, kepada orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Daud bernombor (01156-41-00001981-2).