Aktor kacak, Zac Diamond kembali mewarnai layar perak setelah senyap seketika daripada bidang seni dan tampil dalam filem terbaru arahan Ernie Chin, Suatu Malam Kubur Berasap (SMKB) yang akan ditayangkan pada 22 Disember ini.
Memegang watak sebagai Mie, lelaki Melayu yang diganggu hantu semasa dalam perjalanan pulang ke kampung dalam filem berkenaan. Menurut Zac, ia sedikit pun tidak mendatangkan masalah besar buatnya untuk menjayakan watak lelaki Melayu biarpun pada realitinya Zac adalah penganut agama Kristian.
Mengakui sedikit bimbang jika ada peminat yang mempersoalkan tindakannya membaca doa dan berzikir dalam filem berkenaan, Zac atau nama sebenarnya Zachery Francis, 34, berharap perkara ini tidak akan diperbesar-besarkan.
“Bagi saya, watak yang saya lakonkan adalah fitrah orang Melayu atau orang Islam apabila melihat hantu secara spontan akan mengucapkan kalimah-kalimah suci untuk menangani rasa takut mereka.
"Saya bukan berniat untuk mempersendakan kalimah suci itu, kerana saya lakukan dengan seikhlas hati. Lagi pun ramai berpendapat saya adalah orang Melayu.
"Jadi saya harap ia tidak akan diperbesar-besarkan dan penonton akan terhibur menonton filem ini,” katanya semasa pratonton Suatu Malam Kubur Berasap di e@Curve, Damansara.
Sakit perut di lokasi
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon di samping lima bekas peserta Raja Lawak; Angah, Along, Azrul, Wira dan Faiz, Zac berkata, filem bergenre komedi seram ini memberi cabaran kepadanya kerana terpaksa menahan gelak ketika berada di set penggambaran.
"Mereka berlima memang tidak henti-henti membuat lawak di lokasi. Malah semasa penggambaran juga, ada keletah mereka yang membuatkan saya sakit perut kerana terpaksa menahan gelak," kata aktor yang berasal dari Kuching, Sarawak ini.
Menurutnya, dia berasa bertuah kerana dengan berkat kerjasama para pelakon dan kru produksi, lakonannya bersama pelakon lain mudah mendapat keserasian.
“Seminggu sebelum penggambaran, kami menjalani latihan bagi mendapatkan keserasian antara pelakon, terutama untuk watak saya bersama Angah, Along dan Azrul.
“Dalam filem ini, saya perlu memikirkan cara untuk membuatkan orang tergelak dengan watak yang saya bawa. Namun, dengan tunjuk ajar dan kerjasama para pelakon, kami berjaya menghidupkan watak seperti yang diinginkan,” katanya.
Tampil dengan single baru
Dalam perkembangan lain, pelakon yang juga penyanyi kumpulan X-Factor ini bakal mengeluarkan single terbaru ciptaannya sendiri menjelang awal tahun depan.
Menurutnya, single solo itu dihasilkan ekoran kesibukannya sebagai pelakon menjadi kekangan buat jejaka ini untuk memberi komitmen kepada kumpulan X-Factor.
“Jadual padat saya sebagai pelakon membuatkan saya jarang muncul dalam setiap persembahan pentas bersama X-Factor. Memandangkan minat saya dalam bidang nyanyian masih mendalam, maka saya merancang untuk mengeluarkan single solo yang mana lagu dan lirik adalah ciptaan saya sendiri.
“Setakat ini, saya baru mencipta dua buah lagu dan masih memikirkan untuk memilih single pertama untuk dipersembahkan kepada peminat,” katanya yang masih belum menamakan judul lagu itu.
Zach kepada Zac Diamond
Menyentuh mengenai nama barunya Zach Diamond, pelakon drama Duyung Aridinata ini memberitahu, gelaran Diamond yang membawa maksud berlian itu dianggap dapat memberikan sesuatu yang bernilai pada nama komersialnya itu.
“Nama Zach Diamond diambil memandangkan berlian merupakan batu yang kukuh dan bernilai. Saya mahu nama komersial baru saya ini juga dapat memberi satu maksud yang bernilai untuk diri saya dan bidang yang saya ceburi,” katanya yang ingin dikenali dengan nama barunya selepas ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: