Warga emas antara ditahan berjudi

KUALA TERENGGANU- Seorang warga emas yang juga penghidap penyakit Tibi merupakan antara tiga lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan berjudi daun terup dengan wang taruhan RM30.

Warga emas berkenaan, Che Mohamad Che Muda, 60, dari Kampung Padang Macang, Manir bersama dua lagi rakannya, Md Zaidi Taib, 43, dari Kampung Durian Mas, Manir dan Osman Mat Zin, 50, dari Kampung Padang Setar, Manir, di sini, mengaku bersalah atas dakwaan tersebut.

Akibat pengakuan bersalah itu, ketiga-tiga rakan ini dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda itu, mereka akan dipenjarakan selama sebulan bermula tarikh ditangkap.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka mengaku bersalah berjudi daun terup di sebuah pondok di Kampung Pulau Manis, Manir, di sini, pada Selasa lalu iaitu 6 Disember kira-kira jam 4 petang.

Dengan itu, mereka didapati melakukan kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Noradila Abd Latif manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Berdasarkan kes, ketiga-tiga tertuduh ditangkap ketika sedang bermain judi bersama tujuh lagi rakan mereka yang sempat melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis di lokasi tersebut.

Hasil penahanan itu, polis berjaya merampas RM30 dan 52 keping kad judi yang dipercayai digunakan ketika bertarung sebelum itu.