KUALA TERENGGANU- Walaupun sebelum ini berpengalaman melakukan kerja mengedar, malah sudah pun mempunyai pelanggan setia namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga apabila seorang pengedar dadah tersalah pelanggan dengan menyangka seorang anggota polis yang menghampirinya adalah pelanggan.
Disebabkan kesilapan itu juga, dia yang bekerja sebagai buruh dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin seberat 4.18 gram.
Tertuduh, Zakaria Harun, 42, dari Kampung Banggol Air Lilih, di sini, mengaku memiliki dadah jenis heroin seberat 4.18 gram itu di hadapan sebuah gerai di Batu Enam, Manir, kira-kira jam 12.45 pagi pada 22 Julai lalu.
Dengan itu, bapa kepada dua anak ini didapati telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta Sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu semasa sedang membuat rondaan di kawasan Batu Enam, Manir, di sini, kira-kira jam 12.45 pagi, 22 Julai lalu.
Ketika melakukan rondaan di hadapan sebuah gerai menjual buah, polis ternampak tertuduh yang berada dalam keadaan mencurigakan, sebelum bertindak menghampirinya.
Pada awalnya, tertuduh yang dipercayai sedang menunggu pelanggan itu menyangkakan anggota polis tersebut adalah pelanggannya sebelum anggota polis tersebut memperkenalkan diri.
Hasil pemeriksaan terhadap beg galas tertuduh, berjaya menemui tiga botol plastik cerah bertudung kuning yang mengandungi serbuk putih dipercayai heroin dan turut berjaya menemui dua lagi botol sama yang mengandungi dadah sama di dalam bahagian poket depan seluar dipakai tertuduh.
Malah, tertuduh yang ditahan selepas itu untuk tindakan lanjut turut didapati positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Terengganu kira-kira jam 2.25 pagi, pada hari sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: