rezki

SUNGAI CHOMO – Projek Kelompok Ternakan Ikan Sangkar Sungai Chomo membuka peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU), belia, pesara dan orang asli menyertainya.

Ketua kelompok, Zamri Abdul Razak berkata, dua tahun lepas dia yang begitu minat dengan akuakultur mengumpul sangkar terbiar yang berada di sekitar sungai itu untuk dibaikpulih bagi penternakan ikan.

“Kerana minat, saya sanggup melakukan apa sahaja termasuk berhabis wang asalkan ia berjaya dan mampu mengubah nasib orang lain daripada hidup miskin kepada sederhana dan seterusnya senang.

“Bagi melakukan kerja membaiki sangkar rosak, saya telah membelanjakan berpuluh ribu ringgit termasuk mendapatkan sokongan daripada banyak pihak terutamanya pemimpin tempatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sangkar yang dibina itu berjumlah 300 kesemuanya dan setakat ini hanya mendapat penyertaan 10 orang peserta termasuk pelajar dan golongan belia.

“Penyertaan masih terbuka kepada mereka yang berminat kerana hasilnya nanti, akan diperoleh pemilik sangkar.

“Ikan yang dilepaskan ialah jenis ikan keli, talapia dan patin, saya yakin projek ini berjaya memberi pulangan lumayan sekiranya peserta memberi komitmen penuh menjaga sangkar masing-masing dengan baik,” katanya.

Kata Zamri, setiap peserta juga akan diberikan imbuhan sebagai elaun asalkan peserta menjaga sangkar mereka bersungguh-sungguh.

“Kadang-kadang sangkar ini terpaksa dijaga sehingga 24 jam kerana bimbang ada masalah kecurian ikan atau dimakan oleh haiwan lain,” katanya.

Kini dengan adanya bantuan dan sokongan penuh daripada Jabatan Perikanan Negeri serta Terengganu Agrotech Development Corporation, dia yakin projek itu mampu memberi pendapatan lumayan kepada peserta.