Tumpu keluarga miskin bandar

SEGAMAT - Sebanyak 10 rumah menerima bantuan baik pulih di bawah Program Ziarah Kesejahteraan Bandar di sini, melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan Bandar dengan kerjasama Majlis Daerah Segamat (MDS).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan berkata, di bawah Program Pembasmian Kemiskinan yang telah dilaksanakan bermula 1 Januari 2010 sehingga kini, semua yang terlibat diberikan tumpuan lebih kepada keluarga miskin di kawasan bandar yang berdaftar dengan sistem e-Kasih.

Menurutnya, 10 rumah yang terlibat membabitkan pelbagai kaum telah dikenal pasti berdaftar di bawah e-Kasih dan keutamaan diberikan kepada keluarga miskin dalam kalangan warga emas serta memiliki ahli isi rumah yang ramai.

“Keluarga miskin yang berdaftar di bawah e-Kasih dengan pendapatan isi rumah bulanan kurang daripada garis kemiskinan bandar terbahagi kepada beberapa bahagian seperti miskin tegar, miskin, mudah miskin dan berpendapatan rendah.

“Di negeri ini kita mempunyai 61 keluarga miskin tegar pada September dan jumlah itu telah menunjukkan penurunan pada November iaitu seramai 58 keluarga selain miskin dan mudah miskin masing-masing menunjukkan penurunan daripada September dan November,” katanya.

Beliau berkata, semua keluarga yang dibandingkan ini hanya mereka yang berdaftar di bawah e-Kasih pada 26 September 2011 dan 30 November 2011 serta tidak melibatkan mereka yang masih belum berdaftar dan sebagainya.

Saravanan berkata, Program Pembasmian Kemiskinan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dan membina keupayaan keluarga miskin dan berpendapatan rendah di bandar di samping memfokuskan kepada golongan berpendapatan rendah terutamanya isi rumah dalam kategori mudah miskin sejak 2011.

Turut hadir dalam lawatan beliau ke rumah yang menerima bantuan ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam; Adun Jementah, Datuk Dr Lee Hong Tee dan Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat (MDS), Ismail Abu untuk lebih mendekati golongan ini melalui program yang secara tidak langsung merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.