Wednesday, December 7, 2011

Tango 12 bola rasmi Euro 2012


DARI kiri: Mahali, Wan Zack, Fandi, Norshahrul, Yasmin Hani, Jessica Lim dan Ketua Peruncitan Adidas Malaysia, Wong Tee Wee pada perlancaran Tango 12 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


ADIDAS Malaysia Sdn. Bhd. telah memperkenalkan bola rasmi Euro 2012 yang bakal diadakan di Poland dan Ukraine pada 8 Jun sehingga 10 Julai 2012.

Pengurus Kanan Pengaktifan Jenamanya, Jessica Lim Chok Ching berkata, bola yang dikenali sebagai Tango 12 tersebut telah dibangunkan selepas melalui pelbagai ujian dan kajian selama hampir dua tahun.

“Pembangunan bola tersebut turut diuji oleh beberapa pemain ternama dunia termasuk Ashley Cole dan Petr Cech.

“Bahkan, kelab Eropah seperti AC Milan dari Itali dan Bayern Munich dari Jerman melakukan ujian terhadap bola baharu ini,” katanya pada majlis pelancaran bola Tango 12 di Pavillion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, pemain Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman dan Mahali Jasuli.

Ujarnya lagi, bola tersebut direka sesuai dengan permainan bola sepak moden yang semakin pantas.

Teknologi yang digunakan dalam pembangunan bola itu turut memberikan kawalan lebih baik kepada pemain-pemain apabila menyepak bola.

Tango 12 merupakan bola rasmi ke-11 yang dibangunkan untuk kejohanan ulung bola sepak Eropah.

Jenama Tango telah membuat penampilan pertama pada kejohanan Piala Dunia 1978 di Argentina. Sejak itu, pelbagai perubahan dan kajian telah dilakukan untuk memperbaiki kualiti bola untuk memudahkan pemain-pemain.

Warna bola Tango 12 menggunakan gabungan bendera Poland dan Ukraine akan menggantikan Jabulani yang digunakan pada kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sehingga mencetuskan pelbagai kritikan.

Bola terbaharu yang dijual pada harga RM399 itu boleh didapati di semua cawangan Adidas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: