|
BUTIK Nur Muhammad Stockist merupakan bukti bahawa Rumah Nur Kasih Bestari mempunyai visi dan misi yang lebih jauh dalam mendidik dan membesarkan anak-anak naungannya.
Dirasmikan minggu lalu, Pengerusi Rumah Nur Kasih Bestari merangkap pengurus butik, Siti Aishah Yob memberitahu, butik berkenaan bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin ekonomi rumah kebajikan tersebut, malah ia diwujudkan supaya remaja yang bernaung dapat belajar berdikari.
"Sebagai seorang ahli perniagaan dan pengurus butik ini, saya mahu kongsikan ilmu yang ada dengan anak-anak naungan Rumah Nur Kasih Bestari dan mengajar mereka selok- belok perniagaan.
"Justeru, apabila mereka keluar nanti, mereka mempunyai pengetahuan dan dapat berdikari serta meneruskan kehidupan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis butik itu di M-Avenue, Segambut Bahagia Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurut Aisyah, pembukaan butik berkenaan adalah hasil usaha sama banyak pihak yang banyak menyalurkan bantuan dan peruntukan serta modal pakaian.
"Saya mengenali ramai ahli perniagaan Arab sepanjang menetap di Jordan dan Mesir ketika melanjutkan pengajian serta bekerja di sana.
"Mereka membekalkan jubah-jubah dari Timur Tengah untuk dijual di butik ini," katanya.
Menurut Aisyah, selain jubah butik berkenaan, turut dijual ialah pilihan tudung, baju lelaki yang diimport dari Indonesia dan kopiah Oman yang menjadi trend masa kini.
"Kami mahu dikenali sebagai butik yang menawarkan pakaian berkonsepkan Muslimah seterusnya mahu mengembangkan perniagaan ini demi masa depan," katanya.
Ujar Siti Aishah lagi, hasil keuntungan jualan akan digunakan untuk pembangunan Rumah Nur Kasih Bestari manakala pusingan modalnya akan dikembalikan kepada butik tersebut.
"Pekerja-pekerja di butik ini adalah anak-anak Rumah Nur Kasih Bestari sendiri iaitu mereka yang berumur 15 tahun ke atas.
"Seramai 10 orang pelajar akan bergilir menguruskan butik ini sepanjang minggu selepas waktu persekolahan iaitu seramai dua orang setiap hari," jelasnya.
Aisyah memberitahu, perjalanan butik berkenaan tidak mengganggu proses pembelajaran para pelajar berkenaan kerana ia dilakukan secara bergilir.
Kelas bahasa
"Di atas butik ini, kami turut membuka pusat pembelajaran khas yang akan mengajar Bahasa Jepun, Inggeris dan Arab untuk penghuni Rumah Nur Kasih Bestari secara berjadual selain didedahkan tentang ilmu perniagaan.
"Setiap penghuni mempunyai tanggungjawab masing-masing selain membantu menjaga adik-adik mereka yang lain di rumah perlindungan ini," terang Siti Aishah.
Pada masa yang sama, ruang spa yang bersambung dengan butik berkenaan turut menawarkan pelbagai rawatan seperti sauna dan kesihatan.
"Selain mandi sauna, pelanggan berpeluang mendapatkan perkhidmatan seperti rawatan selepas bersalin, lulur, rawatan resdung, urut dan rawatan sakit puan.
"Rawatan berkenaan menggunakan ahli terapi spa yang berkelayakan termasuk pelajar yang dihantar mengikuti kursus spa sebelum bertugas," katanya.
Tambahnya, beliau sebagai tenaga pengajar utama turut membuka kelas membawa al-Quran dan Iqra, kelas fardu ain dan kelas bahasa Arab kepada orang luar yang berminat. Sebarang pertanyaan hubungi Aishah sendiri di talian 014-719 2922.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: