Pelancaran kesinambungan kempen pendidikan dan kesedaran perlindungan siber intensif menerusi kerjasama syarikat peneraju penyelesaian kandungan keselamatan dan pengurusan ancaman, Kaspersky Lab dan Plaza Low Yatt adalah mekanisme terbaik kepada masyarakat di negara ini.
Kerjasama itu sekali gus dapat mempromosi tabiat penggunaan komputer selamat dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan ancaman daripada laman sesawang yang kian meningkat di negara kita.
Kempen itu memasuki tahun ketiga dan lebih 600 wakil urus niaga di Plaza Low Yatt dilindungi jenama penyelesaian sekuriti yang menjuarai pelbagai anugerah iaitu Kaspersky Internet Sekuriti 2012.
Tanpa sebarang bayaran kepada penyewa, ia merupakan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kaspersky Lab bagi mendidik peruncit dan pengguna umum mengenai kepentingan perlindungan sekuriti asli serta hebat dan pengalaman digital lebih selamat.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen berkata, kementeriannya mengalu-alukan perkongsian bermanfaat antara jenama dan peruncit kerana ia akan menarik pelancong asing untuk menjadikan Malaysia destinasi membeli-belah utama.
“Pelancongan dan urus niaga berkaitan teknologi pengguna adalah pasaran menguntungkan yang harus diteroka organisasi tempatan. Plaza Low Yatt sebagai contoh utama, berupaya melakukannya dengan baik.
“Kawasan membeli-belah tersusun rapi dengan perunding mesra pelanggan dan menawarkan semua barangan kepada pelancong yang meminati ciptaan terkini. Semuanya berada di bawah satu bumbung,” katanya.
Yen Yen berkata, berdasarkan kajian Kaspersky Lab, peratusan emel palsu dalam trafik spam meningkat dengan ketara daripada 0.1 peratus suku tahun lepas kepada dua peratus daripada kesemuanya dalam suku ketiga 2011 sahaja.
Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong berkata, kelemahan utama yang menjadi sasaran kebanyakan penjenayah siber adalah penggunaan penyelesaian sekuriti tidak asli dan ketinggalan zaman.
“Kami mendapati dengan mendidik peruncit dan memberikan maklumat mengenai manfaat penyelesaian sekuriti sebegini, membolehkan mereka berkongsi pengalaman bersama pelanggan dengan lebih efektif, sekali gus menyebarkan mesej mengenai kepentingan perlindungan siber,” katanya.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman kempen antara Kaspersky Lab dan Plaza Low Yatt itu disaksikan Yen Yen.
Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian dilaporkan disebabkan jenayah siber berjumlah RM22.3 juta pada 2009 dan angka itu meningkat kepada RM62 juta tahun lalu.
Berdasarkan penilaian mereka bagi lima tahun akan datang, kerugian disebabkan jenayah siber akan meningkat kepada RM2.73 bilion.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: