BUKIT MERTAJAM – Sebuah rumah tumpangan dekat sini, didakwa menjadikan premis berkenaan sebagai sarang pelacuran dengan berselindung di sebalik perniagaan yang dijalankan.
Sinar Harian difahamkan, aktiviti tidak bermoral itu sudah wujud sejak lebih lima tahun lalu dan hingga kini, ia masih aktif dengan menawarkan perkhidmatan seks membabitkan pelacur tempatan dan warga asing.
Tinjauan mendapati, keadaan di rumah tumpangan itu kelihatan tidak ubah seperti rumah tumpangan biasa.
Dalam pada itu, seorang lelaki yang enggan dikenali berkata, rumah tumpangan berkenaan sememangnya terkenal dalam kalangan lelaki tempatan yang ingin mendapatkan khidmat seks.
Menurutnya, tidak kurang juga yang sanggup datang dari jauh seperti Kuala Lumpur semata-mata untuk melayan nafsu serakah setelah diperkenalkan oleh rakan-rakan mereka.
“Pelanggan yang datang boleh memilih mana-mana wanita yang mereka suka, dari seawal usia 20-an hinggalah ke lewat 30-an. Kebanyakan mereka adalah warga tempatan dan segelintirnya pula adalah warga asing.
“Dengan hanya bayaran serendah RM50 hingga RM200, pelanggan akan dilayan bagaikan raja namun pakej yang diberikan bergantung kepada jumlah yang dibayar selain perkhidmatan yang mereka inginkan,” katanya.
Dia berkata, premis berkenaan sentiasa dikunjungi pelanggan tanpa mengira waktu siang atau malam.
Katanya, biarpun beberapa kali diserbu pihak berkuasa, namun pemiliknya dilihat masih tidak serik dan tetap menjalankan aktiviti seperti biasa seolah-olah tidak gentar dengan tindakan yang diambil.
“Apa yang dikesali, kegiatan sebegini hanya merosakkan anak-anak muda terutamanya yang hanya mengejar keseronokan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Oon Neow Aun berkata, ramai dalam kalangan pemilik premis yang menukar perniagaan mereka dengan menjadikan bangunan sebagai hotel bajet tanpa memaklumkan kepada MPSP.
Katanya, sebanyak 48 hotel bajet sahaja yang mempunyai sijil kelulusan daripada MPSP, yang mana 20 adalah di Seberang Perai Utara (SPU), 25 Seberang Perai Tengah (SPT) dan tiga di Seberang Perai Selatan (SPS).
Manakala, sembilan hotel bajet, tiga di SPU, empat (SPT) dan dua (SPS) tidak mendapat kelulusan MPSP kerana gagal memenuhi syarat pelan bangunan tetapi masih menjalankan perniagaan.
“Adalah menjadi masalah jika pemilik hotel bajet meneruskan operasi tanpa kelulusan, terutama jika berlaku kecemasan.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), kita bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan awam yang menggunakan hotel terbabit,” katanya.
Neow Aun berkata, notis tukar guna akan dikeluarkan kepada pemilik bangunan sekiranya mereka didapati masih menjalankan operasi meskipun permohonan mereka sudah ditolak MPSP.
“Pihak berkuasa seperti imigresen dan polis digesa memantau aktiviti tidak sihat yang berlaku di sana kerana ia adalah di luar bidang kuasa MPSP,” katanya.
Sunday, December 4, 2011
Kegiatan pelacuran aktif lebih lima tahun
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: