KUANTAN – Hasrat untuk pulang ke rumah bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang guru tadika di sini apabila mendakwa menerima layanan buruk daripada anggota polis trafik di sini, pada Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali Yen (20-an) mendakwa kejadian itu berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kempadang.
“Ketika melalui jalan Tanjung Lumpur berdekatan dengan jambatan, saya ditahan oleh tiga lelaki yang memakai pakaian seragam polis trafik jam 11.10 pagi.
“Polis trafik mendakwa bahawa tulisan cukai jalan kereta hilang dakwat dan saya didakwa melanggar undang-undang jalan raya,” katanya.
Yen berkata pegawai tersebut ingin menyaman atas kesalahan itu namun kehilangan dakwat cukai jalan bukan kesalahannya.
“Selepas itu, saya menghubungi abang supaya mengambil geran kereta di bank untuk membuktikan bahawa cukai jalan belum tamat tempoh.
“Namun, pegawai trafik enggan menerima alasan yang saya berikan bahawa geran kereta di bank kerana ingin melihat geran tersebut pada masa itu juga,” katanya.
Menurutnya, pegawai itu memaksa dan memarahinya sehingga dia ketakutan kerana tidak dapat memberikan geran kereta pada ketika itu.
“Akibat tidak dapat menunjukkan geran kereta, saya ditahan sejam di tempat kejadian kemudian dilepaskan dengan alasan sudah tamat waktu bekerja.
“Selepas tiga hari kejadian ini berlaku, sekali lagi di tempat yang sama saya ditahan oleh polis trafik,” katanya.
Katanya, berlainan dengan kejadian yang lepas, pegawai trafik tersebut menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setelah melihat cukai jalan yang tiada dakwat itu untuk mengesahkan tempoh tamat.
Dia yang tidak berpuas hati dengan kejadian sebelum tersebut melaporkan perkara itu kepada polis kerana berasa dipermainkan sehingga fobia melihat polis trafik.
Sementara itu, Pegawai Khas Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang berkata pihak berkenaan menyiasat perkara itu dan memberi penjelasan mengenai kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: