Pekerjaan adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kita. Ada yang sudah berjaya dalam kerjaya tetapi ada yang masih terkial-kial mencari pekerjaan tetap dan serasi. Menjadi satu kisah, apabila hampir mendapat kerja diidam, tiba-tiba dimaklumkan pekerjaan itu hanya omong kosong. Bukan sahaja harapan untuk memegang jawatan idaman berkecai, duit pula habis ditipu kononnya untuk bayaran proses permohonan.
Kejadian ini bukan perkara asing kerana ramai menjadi mangsa tipu dalam urusan mencari pekerjaan. Persoalannya, sedarkah masalah ini berlegar di sekitar kita? Kepada yang sedang mencari pekerjaan, anda mesti berhati-hati sekali gus menghindar daripada menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pelaku atau suspek biasanya bergerak secara individu atau berkumpulan termasuk syarikat dan agensi cari kerja yang menyasarkan mangsa dari kalangan:
- Penganggur
- Bekas graduan
- Suri rumah yang mahu pendapatan lebih
- Individu terdesak untuk mendapatkan pekerjaan
- Masyarakat luar bandar
Suspek lazimnya berkeyakinan apabila berkata-kata dan bijak memanipulasi mangsa agar mudah terpedaya dengan tipu helah mereka.
Modus operandi
- Fokus pada masyarakat luar bandar serta bekas graduan
- Agensi cari pekerjaan yang menipu, menggunakan orang tengah untuk mendapatkan mangsa
- Tawar peluang pekerjaan di sektor kerajaan dengan menyalahgunakan nama jabatan seperti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia
- Tawar iklan pekerjaan di laman sosial seperti Facebook
- Tampal iklan tawaran kerja dengan gaji lumayan tanpa menyebut jenis pekerjaan di merata pokok, papan tanda, stesen bas, kedai makan.
- Tawarkan kerja melalui ruangan iklan pekerjaan dalam akhbar (biasanya agensi pekerjaan)
- Setelah mangsa menghubungi talian yang diberikan, suspek akan tetapkan tarikh temu duga dan minta mangsa buat pembayaran tertentu, kononnya sebagai prosedur dan jaminan untuk dapatkan jawatan.
- Agensi yang menipu ini, kemudiannya berjanji untuk menghubungi mangsa semula dalam tempoh seminggu, sebelum lesap dan menukar nama syarikat
- Agensi pekerjaan yang menipu hanya bertahan dalam tempoh beberapa bulan, sebelum menukar nama syarikat bagi mengelak dikesan mangsa dan pihak berkuasa
Faktor mangsa mudah ditipu:
- Terdesak untuk mendapat pekerjaan
- Gaji lumayan ditawarkan menyebabkan masyarakat gelap mata dan mudah terpedaya
- Sikap tamak serta ingin dapatkan wang dalam tempoh singkat.
- Kurang pengetahuan berhubung prosedur sebenar untuk mendapatkan perkhidmatan melalui agensi pekerjaan, termasuk kes-kes penipuan yang berlaku
- Tidak berfikir panjang atau merujuk kepada pihak ketiga ketika membuat keputusan atau mengambil sesuatu tindakan.
Tip elak jadi mangsa:
- Siasat latar belakang dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah agensi pekerjaan agar tidak diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab
- Orang ramai juga perlu selidik sama ada agensi terbabit diiktiraf kerajaan atau tidak
- Minta agensi tunjukkan sijil atau lesen sah yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia
- Lesen yang dikeluarkan kementerian mempunyai nombor siri bagi mengelak penipuan berlaku
- Agensi yang sah hanya dikenakan kadar yuran rendah seperti ditetapkan kementerian bagi graduan atau pekerja yang memohon untuk bekerja di syarikat tempatan atau luar negara
- Jangan mudah percaya jika diminta membuat pembayaran yang tidak munasabah untuk mendapatkan pekerjaan
- Rujuk pihak berkaitan agar tidak tertipu
- Jangan terpedaya dengan iklan yang ditampal di tempat awam, yang hanya memberitahu nilai gaji ditawarkan tetapi tidak menjelaskan secara terperinci berhubung pekerjaan yang perlu dilakukan
- Peka dan tingkatkan ilmu pengetahuan berhubung kes-kes penipuan yang berlaku
- Lapor kepada pihak berkuasa jika mengesyaki sesuatu yang pelik berlaku
Kesan:
- Orang ramai (pencari kerja) kerugian dalam jumlah yang besar sehingga mencecah ribuan ringgit
- Gagal mendapat pekerjaan seperti yang diharapkan
- Suspek atau agensi cari pekerjaan yang menipu akan terus bermaharajalela
- Boleh menjejaskan imej sesebuah institusi pekerjaan
Kes: Pengalaman mangsa yang pernah ditipu
Suri rumah dikenali sebagai Yah, 50, berkata, nyaris kerugian kira-kira RM1,000 pada September lalu, gara-gara terpedaya dengan helah seorang wanita yang mengaku kononnya pegawai kanan kerajaan dan boleh membantu mendapatkan kerja dalam sektor kerajaan untuk dua orang anaknya serta penduduk kampung.
Menurutnya, wanita itu begitu licik kerana mengupah seorang daripada penduduk kampungnya untuk menjadi ‘orang tengah’ bagi mencari kira-kira 60 individu yang berminat untuk bekerja dalam sektor kerajaan.
Katanya, wanita itu turut memberi komisen sebagai ganjaran kepada ‘orang tengah’ yang dilantik.
“Saya pada mulanya berasa ragu-ragu, tetapi setelah diyakinkan oleh ‘orang tengah’ bahawa kerja terbabit menjamin masa depan dua anak saya yang baru tamat pengajian, saya terus setuju tanpa berbincang dengan kedua-dua anak saya.
“Saya dijanjikan bahawa kedua-dua anak saya akan dapat diserapkan dalam sektor kerajaan dengan mudah dan hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM500 bagi setiap individu kononnya sebagai bayaran proses,” katanya.
Yah berkata, dia memasukkan duit ke dalam dua akaun atas nama individu berlainan dan seminggu kemudian, dia menerima panggilan daripada suspek mengatakan seorang daripada anaknya berjaya mendapat jawatan dalam Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan akan bertugas di Sabah.
“Pada mulanya saya berasa sangat gembira. Kemudian, saya dimaklumkan kira-kira 60 anak penduduk kampung yang turut memohon untuk mendapatkan pekerjaan sama telah ditipu dan kerugian ribuan ringgit.
“Anak saya yang berasa curiga menghubungi semula suspek untuk memastikan sama ada tawaran tersebut benar atau tidak. Tetapi, suspek memberi pelbagai alasan. Setelah digertak perkara itu akan dilaporkan kepada polis, suspek yang takut terus bersetuju memulangkan semula duit RM1,000 yang dibayar dan memotong nama anak saya daripada senarai permohonan,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur duit itu diperoleh semula, tetapi sebahagian daripada 60 penduduk kampungnya masih belum memperoleh duit mereka.
Menurutnya, rata-rata mereka enggan membuat laporan polis kerana ‘orang tengah’ cuba memanipulasi fikiran mereka dengan mengatakan peluang untuk mendapatkan semula wang, tipis jika polis mengetahui hal itu.
Sunday, December 4, 2011
Jangan mudah terpedaya iklan tawar gaji lumayan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: