Monday, December 5, 2011

Sukarelawan bersih Pantai Merang

KUMPULAN sukarelawan yang menyatukan kakitangan The Body Shop, Coca-Cola Company dan pelajar sekolah sekitar Setiu.


SEORANG pemikir Vincent van Gogh pernah berkata: “Sesuatu yang hebat datangnya daripada langkah yang kecil.”

Kenyataan itu sesuai bagi menggambarkan inisiatif yang dilakukan syarikat The Body Shop bersama Coca-Cola Company yang melakukan aktiviti membersihkan persisiran pantai antarabangsa (International Coastal Cleanup, ICC), satu aktiviti sukarela tahunan yang terbesar di dunia.

Pengarah Francais Coca-Cola Far East Limited (Malaysia), Agustinus Gunadharma berkata, program ICC yang diketuai oleh pertubuhan Ocean Conservancy memperlihatkan setengah juta sukarelawan dari lebih 100 negara menjalankan aktiviti mengutip sampah dan membersihkan pantai dan kawasan perairan.

Aktiviti yang dijalankan baru-baru ini itu, merupakan antara projek pemuliharaan sukarelawan tahunan terbesar di dunia.

Lebih menggembirakan, bilangan penyertaan sukarelawan meningkat dari tahun ke tahun.

“Sampah laut merupakan salah satu masalah pencemaran yang paling berbahaya tetapi, ia terus berleluasa pada zaman ini,” katanya.

Namun begitu, ia boleh dicegah. Bagi peserta program ICC, walaupun hasil kutipan sampah yang banyak membayangkan keadaan laut semakin tercemar, itu tidak memudarkan komitmen mereka untuk memuliharanya.

Dengan membersihkan pantai, warga Malaysia yang prihatin dapat melindungi laut daripada ancaman perubahan cuaca, pencemaran, kemerosotan hasil perikanan dan kerosakan habitat marin.

Tahun ini merupakan tahun ke-26 program pembersihan ICC berlangsung di peringkat global.

Aktiviti pembersihan persisiran pantai Malaysia diadakan di Pantai Merang di Sutra Beach Resort & Spa, Setiu, Terengganu berjaya menarik penyertaan seramai 150 sukarelawan dari syarikat The Body Shop dan The Coca-Cola Company serta pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lemboh Bidong di Setiu.

Melalui aktiviti itu, sebanyak 395.6 kilogram sampah telah dikutip dalam masa dua jam. Tiga bahan buangan yang paling banyak ialah rokok dan penapis rokok (11.7 peratus), beg plastik (9.2 peratus) dan botol minuman plastik (8.5 peratus).

Menurut Pengurus Besar Rampai Niaga Sdn. Bhd., Jesse Siew, beliau berasa gembira dengan sambutan yang diberikan oleh kumpulan sukarelawan yang menggalakkan, tetapi agak bersedih melihat jumlah sampah yang dikutip.

“Setelah bertahun-tahun menganjurkan program ICC di Malaysia, saya mengakui sedikit terkilan apabila mendapati jumlah sampah yang dikutip bertambah setiap tahun.

“Akan tetapi, saya amat kagum dengan peningkatan bilangan sukarelawan yang menyertai aktiviti ini.


SEBANYAK 395.6 kilogram sampah berjaya dikumpulkan di Pantai Merang.


“Diharapkan aktiviti ini akan mencetuskan perubahan dalam diri kita untuk menjaga alam sekitar dengan lebih baik lagi,” kata beliau.

Program pendidikan

Tambahnya, sewaktu berada di sana juga kumpulan sukarelawan sempat menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai ancaman plastik kepada hidupan laut dan alam sekitar.

“Baru-baru ini, kami berjaya merawat dan melepaskan tiga ekor penyu Hawksbill kembali ke laut. Kita amat berharap ketiga-tiganya dapat kembali ke alam mereka dengan selamat.

“Saya amat berharap penyu-penyu muda ini tidak akan terancam akibat tercekik atau tertelan beg plastik,” tambah beliau.

Agustinus mengakui syarikat Coca-Cola amat komited dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan sumber air.

“Oleh kerana itu, kami telah menjadi rakan global ICC selama 14 tahun berturut-turut. Kami berharap sokongan berterusan yang diberikan kepada program ICC dapat mengurangkan ancaman alam sekitar ini.

“Sikap bertanggungjawab dalam pembuangan sampah penting untuk menjaga alam. Amalan kitar semula harus digalakkan dalam kalangan warganegara kita, tidak kira muda atau pun tua,” katanya.

Selain membersihkan kawasan perairan, aktiviti tersebut juga membantu pihak Ocean Conservancy untuk memperoleh data tentang pencemaran laut.

Maklumat tentang bahan buangan di laut dan sumber air yang lain dapat menentukan punca pencemaran laut berlaku.

Dengan menerbitkan laporan yang terperinci, Ocean Conservancy berhasrat untuk mendidik anggota masyarakat agar menghindari daripada perbuatan mencemar dan mengancam hidupan laut.

Mereka turut digalakkan untuk mengatasi isu pencemaran bersama pihak kerajaan tempatan dan juga pihak swasta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: