Saturday, December 24, 2011

SPNB yakin siap 10,000 RMR

AHMAD Husni  melihat reka bentuk baru RMR sambil mendengar penerangan oleh  Idris (kanan)  yang turut disertai Kamarul (kiri) dan Adinan   di Ibu Pejabat SPNB, Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD Husni melihat reka bentuk baru RMR sambil mendengar penerangan oleh Idris (kanan) yang turut disertai Kamarul (kiri) dan Adinan di Ibu Pejabat SPNB, Kuala Lumpur, semalam.
Jumlah 4 kali ganda lebih tinggi berbanding 2,500 unit dibina setahun

SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) yakin dapat menyiapkan 10,000 unit rumah di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR) tahun depan, sekali gus menyerahkan kepada pembeli tepat pada masanya hasil sokongan institusi kewangan.Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa.
Pengerusinya, Datuk Idris Haron, berkata jumlah itu adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding 2,500 unit rumah dibina setahun di bawah program RMR sebelum ini sejak lapan tahun lalu.

“Kami berhasrat mempercepatkan pembinaan projek berkenaan memandangkan terdapat kira-kira 42,000 permohonan di bawah program itu. Sejak lapan tahun lalu, SPNB menyiap dan menyerahkan kira-kira 17,000 unit rumah RMR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman untuk program RMR antara SPNB dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, SPNB diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh manakala BSN diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning. Ia disaksikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
SPNB menerima mandat daripada kerajaan pada Bajet 2012 untuk membina 10,000 unit rumah di bawah program RMR dengan peruntukan sebanyak RM200 juta diberikan dalam bentuk subsidi.

Setiap unit rumah di bawah program RMR adalah bernilai RM65,000 yang mana kerajaan akan memberikan subsidi bernilai RM20,000 kepada pembeli.

Kos keseluruhan pembinaan projek itu tahun depan bernilai RM650 juta, justeru SPNB kini bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menampung peruntukan tambahan RM450 juta bagi membina semua rumah terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: