Saturday, December 24, 2011

Beralun cantik pada tubuh

BERNARD...ibu sumber inspirasi.
BERNARD...ibu sumber inspirasi.

TUMPUAN yang terpaku pada setiap helaian padanan yang tersarung pada tubuh tinggi lampai peragawati yang berjalan di pentas peragaan, jelas membuktikan rekaan kali ini menampilkan perbezaan serta keistimewaan tersendiri.

Hebat dan menyerlah. Ini mungkin kata-kata yang tidak terungkap tatkala menyoroti helaian pertama rekaan pereka tersohor antarabangsa, Datuk Bernard Chandran ketika pertunjukan Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2011 yang berlangsung di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

  • Foto

    KONTEMPORARI...keistimewaan Bernard pada jahitan serta lipatan pada baju yang memberikan gaya memukau.

  • Foto

    POLOS...padanan polos tampak ringkas namun memukau menerusi potongan yang unik.

  • Foto

    BERGAYA...ilham musim bunga dan panas diperindahkan pada fabrik bercorak yang ringkas dan menawan.

  • Foto

    UNIK...kekemasan pada rekaan Bernard pada pemilihan fabrik serta lipatan kain yang memberikan gaya menawan.

  • Foto

    GAYA 50-an...gaya skirt pendek inspirasi daripada ibu Bernard sendiri.

  • Foto

    FABRIK HEBAT...menggunakan fabrik sutera satin pada padanan gaun membuatkannya beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Mengimbas kenangan silam, himpunan musim bunga dan panas 2012 yang ditampilkan adalah inspirasi dari era 50-an yang menjadi nadi kepada penggayaan glamor ibunya sendiri.

Menurut Bernard, ibu menjadi ikon fesyen serta ilham menzahirkan lakaran. Dia sentiasa kelihatan cantik dan berusaha ke arah itu dengan menghasilkan pakaian sendiri.“Untuk rekaan fesyen musim ini, saya memberikan penghormatan kepada ibu saya.Saya mendapati apa yang saya lalui ini adalah melalui dia. Ilham fesyen 50-an datang apabila melihat ibu bergaya serta berusaha untuk kelihatan anggun dan cantik setiap masa.


“Disebabkan pakaian agak terhad pada masa itu, ibu berusaha menjahit pakaian sendiri dan memastikan orang di sekelilingnya turut kelihatan cantik.
Kreativiti serta keghairahan ibu memberi inspirasi dan ilham kepada saya untuk berusaha dengan lebih baik, menghasilkan pelbagai rekaan yang disukai setiap wanita,” kata Bernard.

Gemerlapan koleksi musim bunga dan panas direka secara penuh sederhana, namun memukau menerusi gaya geometri yang dapat dilihat pada setiap sudut potongan.
Lengkungan jahitan pada bahagian leher baju menggunakan teknik luar biasa kemudian diadaptasi kepada era moden mencerminkan keupayaan pereka yang bukan saja bijak, malah berani menghasilkan sesuatu yang baru.

Bagi Bernard, setiap helaian fabrik adalah kanvas bagi melahirkan idea serta pentas mencipta sesuatu rekaan. Apa saja yang dihasilkan adalah seni dan semestinya indah untuk dipaparkan.

Selain mengambil tema geometri, keupayaan pereka yang kerap kali mengadakan pertunjukan di luar negara ini adalah berani bermain dengan struktur lipatan serta memberi inovasi baru pada skirt, gaun, blaus serta jaket yang diberi nafas baru, sekali gus menambah kecanggihan gaya 50-an.

Pendekatan digunakan sentiasa memikat hati wanita menerusi setiap padanan Bernard memilih fabrik jersi digabungkan dengan kapas dan sutera satin bagi memastikan setiap busana beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Menariknya apabila tambahan perincian manik serta sulaman tangan bagi memberikan impak menawan serta kesan lebih menyerlah. Untuk warna musim bunga dan panas, sudah pasti pemilihan palet lengkap bermula dengan kelabu, perak, emas, hijau, biru, krim dan hijau epal menjadi dasar kepada setiap rona.

Menurut Bernard, setiap warna memainkan peranan penting bagi menyerlahkan gaya 50-an kepada lebih kontemporari sesuai peredaran semasa.

“Sebagai pereka, apa yang penting adalah berani mencipta pelbagai gaya, berani mengambil risiko dan lakukan sedikit perubahan pada rekaan dan sudah pasti rekaan anda akan dipandang indah serta diingati sepanjang zaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: